GUA MUSANG: Seorang pesara tentera ditemukan mati semasa mengayuh basikal selepas dipercayai terbabas ke dalam kawasan semak di tepi jalan Kampung Lembaga, Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah di sini semasa.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang, mangsa, Wan Yusof Wan Jaafar, 48, yang melakukan aktiviti tersebut secara berseorangan ditemukan dalam keadaan terbaring berhampiran basikalnya di kawasan yang terlindung daripada pandangan orang ramai.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai telah keluar beriadah dengan mengayuh basikal seorang diri kira-kira pukul 8 pagi.
Menurutnya, susulan itu isteri mangsa telah bertindak menelefon suami selepas dia tidak pulang ke rumah sebagaimana kebiasaan.
“Isteri mangsa kemudian telah menghubungi rakan-rakan suaminya dan memaklumkan hal tersebut. Beberapa orang kawan mangsa telah bertindak mencari lokasi semasa Wan Yusof melalui Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) telefonnya.
“Pada pukul 2.30 petang isteri mangsa telah dimaklumkan bahawa suaminya telah dijumpai di kawasan semak dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disyaki telah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Choon Foo memberitahu, berdasarkan siasatan pihak polis di tempat kejadian dan saksi tiada unsur jenayah ditemukan ke atas mayat mangsa.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.
“Hasil proses bedah siasat sebab kematian mangsa ialah ‘Coronary Artery Disease’. Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” ujarnya.-UTUSAN










