KOTA TINGGI: Taktik sekumpulan perompak besi buruk dari negara jiran menggunakan laluan rentas sempadan melakukan jenayah pada Syawal tumpas apabila mereka ditahan pagi semalam.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd. Najib Sam berkata, pihaknya menerima aduan tentang sebuah bot tunda dengan muatan besi buruk dalam perjalanan dari Labuan ke Pelabuhan Klang dinaiki sekumpulan perompak di kedudukan 3.8 batu nautika daripada Tanjung Penyusop pada pukul 10.45 pagi.
Sebuah bot ronda yang sedang bertugas di Johor Timur telah bergegas ke sana dan mengejar sebelum berjaya menahan bot tersebut pada kedudukan 3.6 batu nautika selatan Tanjung Penyusop, tidak jauh dari tempat kejadian.
Siasatan awal mendapati kumpulan itu menggunakan sempadan negara bagi mengelakkan daripada ditahan.
Katanya modus operandi kumpulan itu sama seperti kejadian sebelum ini, iaitu mengambil masa setengah jam ke satu jam untuk bergerak masuk dan keluar dari negara jiran.
“Kita dapat menahan sebuah bot kayu tanpa nama yang dengan penuh barangan curi yang diperolehi daripada barge Hexagro 9 dan semasa diiring ke pos Maritim Pengerang bot yang kami tahan telah mengalami kebocoran dan telah tenggelam pada kedudukan dua batu nautika dari Tanjung Bulat.
“Lma lelaki disyaki warga Indonesia berumur antara 31 hingga 53 tahun ditahan dan dibawa ke Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, iaitu mencuri serta pecah masuk premis serta Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri semasa ditahan. Kesemua suspek juga ditahan reman selama 14 hari bermula hari ini,” katanya dalam sidang akhbar di Zon Maritim Tanjung Sedili, dekat sini hari ini.
Anggaran awal nilai rampasan kira-kira RM20,000, katanya sambil memaklumkan sejak tahun 2018 sebanyak sembilan kes dilaporkan dan berjaya diselesaikan.
Kes tersebut adalah yang pertama pada tahun ini dan kumpulan perompak tersebut menyasarkan bot atau kapal-kapal yang bergerak dalam kelajuan perlahan. – UTUSAN










