JASIN: Agensi kerajaan diseru bekerjasama dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) untuk mengembangkan penanaman nanas premium varieti MD2 yang mempunyai permintaan tinggi ketika ini.
Pengerusi LPNM, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, saranan itu dibuat memandangkan agensi kerajaan seperti institusi pengajian tinggi (IPT), Jabatan Penjara dan sebagainya mempunyai tanah yang boleh diguna pakai untuk pertanian.
Menurutnya, kerjasama itu amat penting dalam membantu usaha LPNM meningkatkan pengeluaran nanas negara yang masih belum mencukupi untuk menampung permintaan pasaran tempatan dan eksport.
“Pusat Koreksional Jasin menjadi contoh sebagai agensi kerajaan yang menanam nanas secara tanam sekali, tuai tiga kali di kawasan seluas 25.5 ekar.
“Setakat ini selain Jasin, tiga lagi kompleks penjara menjalankan penanaman nanas iaitu di Penjara Gemas, Negeri Sembilan; Penjara Kluang, Johor dan Penjara Seberang Perai, Pulau Pinang.
“Ini boleh diadaptasi oleh agensi kerajaan yang lain untuk bekerjasama rapat dengan LPNM untuk kita perluaskan tanaman nanas bagi memenuhi permintaan yang sangat tinggi ketika ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pusat Pengumpulan Nanas di Pusat Koreksional Jasin di sini, hari ini.
Tambah Sheikh Umar, eksport nanas negara menunjukkan peningkatan dengan permintaan sebanyak 4,000 kontena atau 88,000 tan metrik, namun Malaysia mampu membekalkan 800 kontena iaitu 17,600 tan metrik sahaja.
“Nanas premium varieti MD2 mendapat permintaan tinggi di eksport ke Singapura, Timur Tengah, Jepun dan Jerman,” jelasnya. – UTUSAN









