Perantau Kelantan mula pulang ke ibu kota - Utusan Malaysia

Perantau Kelantan mula pulang ke ibu kota

ANAK-anak Kelantan di perantauan mula pulang ke ibu kota sekali gus menyaksikan aliran trafik dilihat mulai perlahan memasuki bandar Gua Musang, Kelantan hari ini.-UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Anak Kelantan di perantauan kembali semula ke ibu kota hari ini selepas pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga di kampung halaman masing-masing.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati jumlah kenderaan di laluan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang-Kuala Lipis dan Gua Musang-Jeli, semakin bertambah namun keadaan trafik masih terkawal.

Seorang pengguna jalan raya, Muhd. Farizal Alias, 39, berkata, kenderaan dilihat bertambah menuju ke bandar Gua Musang, namun lalu lintas masih lancar.

Katanya, rata-rata pengguna jalan raya mahu pulang ke Kuala Lumpur untuk kembali bekerja selepas pulang ke kampung halaman untuk bercuti sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Saya bertolak dari Kota Bharu pada pukul 11 pagi tadi dan tiba di bandar Gua Musang kira-kira pukul 3 petang. Kenderaan perlahan ketika melalui jalan di Masjid Buluh dan projek jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Bandar Baru. 

“Saya sempat berhenti berehat di hentian Rehat Dan Rawat (R&R) Rantau Manis dan Hentian Gua Musang di sini. Kedua-dua lokasi itu penuh dengan kenderaan perantau,” katanya.

Seorang lagi pengguna jalan raya, Mohd. Hazeril Ibrahim, 40, berkata, kenderaan dilihat semakin bertambah menuju keluar Kelantan.

Katanya, mereka sekeluarga merancang perjalanan pulang hari ini kerana trafik dijangka lebih sesak esok.

“Kami merancang untuk pulang hari ini kerana mungkin bilangan kenderaan semakin bertambah keluar dari negeri ini kerana cuti hari raya sudah habis.

“Kami berharap pengguna jalan raya berhati-hati dalam pemanduan dan selamat tiba ke destinasi yang dituju,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN