GUA MUSANG: Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan menyarankan perantau yang pulang ke Kelantan sempena Hari Raya Aidilfitri agar menggunakan laluan FT04 iaitu jalan Gua Musang-Jeli sebagai langkah penyuraian trafik.
Pengarahnya, Ir. Mohd. Suhaili Ismail berkata, para perantau yang ingin menghala ke Rantau Panjang, Tanah Merah, Pasir Mas dan Tumpat dinasihatkan agar menggunakan laluan terbabit bagi mengurangkan kesesakan di laluan Gua Musang-Kuala Krai (FT08).
Menurutnya, JKR Kelantan menjangkakan pertambahan kenderaan secara mendadak memasuki negeri ini menggunakan jalan Gua Musang-Kuala Lipis bermula Jumaat ini.
“Kebiasaannya pengguna jalan raya akan tertumpu kepada laluan Gua Musang-Kuala Krai, jadi kita minta kerjasama perantau untuk menukar laluan menggunakan jalan Gua Musang-Jeli (FT04).
“Kita akan meletakkan beberapa papan tanda untuk memaklumkan perantau yang terlibat supaya menggunakan laluan terbabit. Kita harap dapat mengurangkan jarak kesesakan jalan Gua Musang-Kuala Krai yang turut terlibat dengan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU),” katanya ketika ditemui pemberita pada Mesyuarat Penyelarasan Trafik di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, di sini hari ini.
Mohd. Suhaili memberitahu, pihaknya turut memdapat kerjasama pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang untuk membantu melancarkan aliran trafik sepanjang musim perayaan yang dijangkakan bermula Jumaat ini.
Katanya, pihak polis juga bersetuju untuk menggerakkan anggotanya di beberapa kawasan yang dipercayai akan mengalami kesesakan teruk.
“Pihak polis sudah bersetuju untuk membuat kawalan secara statik di kawasan yang dipercayai akan mengelami kesesakan lalu lintas yang teruk terutama di sempadan pintu masuk Gua Musang-Merapoh, Pahang.
“Sekiranya berlaku kesesakan luar jangka kerana pertambahan kenderaan, laluan alternatif akan digunakan kepada semua kenderaan dan arahan yang selanjutnya akan dikeluarkan,” katanya.
Tambah Mohd. Suhaili, bagi memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya, sebanyak 10 lampu solar akan dipasang sepanjang laluan berhampiran Projek LTU di bandar Gua Musang. –UTUSAN










