KOTA BHARU: Seramai 1,036 individu termasuk dua penjawat awam dan seorang penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ditahan selepas dipercayai terlibat dengan dadah menerusi Operasi Tapis Bersepadu dan Operasi Tapis di negeri ini dalam tempoh 11 hari.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, tangkapan yang bermula 17 April sehingga semalam itu turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk pil kuda melibatkan nilai keseluruhan lebih RM940,805.
Menurutnya, siasatan mendapati, kesemua suspek yang ditangkap berusia dalam lingkungan 15 hingga 65 tahun.
“Mereka yang ditahan merupakan 968 individu warganegara tempatan, 68 warga asing, dua penjawat awam dan seorang pelajar IPTA.
“Jumlah dadah yang dirampas itu boleh diedarkan kepada seramai 134,124 orang penagih sekiranya ia terlepas ke pasaran,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhamad Zaki memberitahu, pihaknya turut menyita kenderaan, barangan kemas dan wang tunai yang melibatkan nilai keseluruhan lebih RM94,484.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) dan Akta Racun 1952.-UTUSAN










