Peniaga warung terlepas hukuman gantung

Peniaga warung terlepas hukuman gantung

TERTUDUH (kanan) semasa menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/ROSLAWANI CHE SOH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang peniaga warung terlepas tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Mahkamah Tinggi Kota Bharu di sini hari ini menggantikan hukuman tersebut dengan penjara 35 tahun selepas didapati bersalah membunuh seorang lelaki di Kerteh, Terengganu, sembilan tahun lalu. 

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan sebulat suara mengetepikan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Terengganu terhadap Mohamad Zulkifli Ismail, 59.

“Hukuman mati diketepikan dan diganti dengan hukuman penjara 35 tahun bermula dari tarikh tangkap iaitu pada Disember 2015,” kata Maimun yang bersidang bersama-sama Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta  Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan. 

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Terengganu pada 27 Mei 2018 menjatuhkan hukuman mati terhadap Mohamad Zulkifli selepas didapati bersalah membunuh pengutip besi buruk, Zulkefle Abdullah,37, 

Mahkamah Persekutuan sebelum ini mengekalkan hukuman mati ke atas peniaga warung itu kerana membunuh mangsa di Terengganu sehingga kisah tersebut tular di media sosial kononnya kejadian bunuh itu berlaku bagi mempertahankan diri.

Terdahulu, peguam Mazlan Md. Zain yang mewakili Mohamad Zulkifli menegaskan, anak guamnya merupakan mangsa dalam kes itu semasa usaha menangkap perompak yang mencuri besi berhampiran rumahnya. 

Timbalan Pendakwa Raya, Norzilati Izhani Zainal@Zainol bagaimanapun membantah dan memohon hukuman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dikekalkan memandangkan tertuduh mengejar pelaku yang melarikan diri.

Menurut Norzilati, tertuduh juga menikam dada pelaku yang dianggap terlalu kejam kerana membiarkan mangsa mati di lokasi kejadian. 

Mahkamah kemudiannya mengetepikan hukuman mati dan menetapkan hukuman 35 tahun penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 7 Disember 2015.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Mahkamah Persekutuan pada 25 Oktober 2021 mengekalkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang peniaga warung selepas didapati bersalah atas pertuduhan membunuh seorang pengutip besi buruk di Kerteh, Terengganu.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat bersama dua lagi hakim iaitu Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Zabariah Mohd. Yusof yang menolak rayuan terakhir Mohamad Zulkifli selaku perayu.

Pada Mei 2018, Mohamad Zulkifli dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu kerana membunuh Zulkefle di sebuah rumah di Kampung Labohan, Kerteh pukul 10.30 pagi pada 7 Disember 2015.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN