JOHOR BAHRU: Seorang pengurus jualan syarikat elektronik mengalami kerugian berjumlah RM577,912 gara-gara terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintenden Lim Jit Huey berkata, lelaki berusia 58 tahun itu terjerat dalam skim pelaburan emas menerusi aplikasi Upbest yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat selepas berkenalan dengan seorang wanita yang dikenali sebagai Amy menerusi aplikasi WeChat.
“Mangsa kemudiannya menyertai pelaburan berkenaan setelah dijanjikan pulangan sebanyak 10 peratus daripada jumlah modal yang dimasukkan dalam tempoh 60 minit selain keuntungan juga akan diperoleh setiap kali transaksi pelaburan dilakukan.
“Kerana tertarik dan percaya dengan keuntungan yang dijanjikan, lelaki berkenaan telah mengikut arahan dengan membuat pelaburan berjumlah RM577,912 ke beberapa akaun bank tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Pada permulaannya mangsa berjaya menjana keuntungan daripada pelaburan tersebut, namun wang keuntungan tersebut gagal dikeluarkan atas pelbagai alasan dan didesak untuk membuat bayaran tambahan.
“Lelaki itu mengesyaki dirinya telah ditipu dan satu laporan polis telah dibuat berkaitaj perkara berkenaan,” katanya sambil menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan tawaran pelaburan dalam media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan dengan mudah dan dalam masa singkat.
Orang ramai boleh membuat semakan dengan agensi berkaitan seperti polis, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti bagi kepastian dan mendapatkan maklumat lanjut.
“Selain itu, gunakan perkhidmatan ‘Semak Mule’ yang disediakan secara dalam talian bagi menyemak status akaun bank dan nombor telefon suspek sebelum meneruskan transaksi pembayaran,” katanya sambil memaklumkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










