SEREMBAN: Seorang pengerusi koperasi di Felda Palong, Gemas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban di sini, hari ini atas tuduhan menyalahgunakan wang koperasi tersebut sebanyak RM422,440 tiga tahun lalu.
Tertuduh, Zainor Ishak, 73, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Berdasarkan pertuduhan, sebagai Pengerusi Koperasi Felda Palong Empat Negeri Sembilan Berhad, tertuduh telah dengan secara tidak jujur menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, iaitu wang sejumlah RM422,440.00 daripada akaun Maybank milik koperasi berkenaan.
Perbuatan itu dilakukan di antara bulan Ogos 2020 hingga November 2021 di sebuah bank di Jalan Tampin, Gemas.
Oleh itu, warga emas itu dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohammad manakala, tertuduh diwakili peguam, Shahidah Muslimah Roslan.
Pihak pendakwaan kemudiannya menawarkan wang jaminan sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan.
Tertuduh dalam rayuannya melalui Shahidah Muslimah memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan dengan alasan tertuduh masih menanggung seorang isteri dan empat cucunya yang merupakan anak yatim.
Mahkamah kemudiannya membenarkan wang jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM Seremban pada hari Sabtu pertama setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes pada 30 Mei ini.-UTUSAN.









