KUANTAN: Seorang pembantu kedai jualan komputer mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memperdaya, melakukan ugutan jenayah dan memiliki imej lucah ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Loh Yin Teng, 29, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan di Mahkamah Majistret 1 dan 2 di hadapan Majistret Raja Nurshuzianna Shakila Raja Mamat dan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Di Mahkamah Majistret 1, berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh pada 8 April hingga 13 April lalu sekitar puk 8.19 pagi sehingga pukul 10.02 malam bertempat di jalan Haji Ahmad Kuantan di sini, didapati dengan curang memperdayakan seorang individu bagi urusan mendapatkan telefon pintar model Iphone 11 dan telah mendorong individu terbabit menyerahkan wang ke dalam akaun berbeza sebanyak 12 kali transaksi berjumlah RM2,280 di mana mangsa tidak menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian oleh tertuduh.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada 14 April lalu sekitar pukul 2.41 petang bertempat di Taman Sungai Karang, di sini telah melakukan ugutan jenayah kepada individu sama untuk membawa Ahlong bernama Eric dengan niat hendak menyebabkan ketakutan bagi mendapatkan wang.
Di Mahkamah Majistret 2 pula, bagi pertuduhan ketiga, tertuduh pada 15 April lalu sekitar pukul 12.15 tengah malam bertempat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, di sini, didapati dalam milikan tertuduh sekeping gambar boleh milik individu sama yang ditemukan dalam telefon bimbit jenis Realme 6 berwarna biru dan di dalam unit pemproses pusat (CPU) jenis Tecware berwarna hitam milik tertuduh.
Bagi pertuduhan keempat pula, tertuduh pada antara 7 Januari 2023 hingga 10 Jun 2023 sekitar pukul 1.17 pagi hingga 7.41 petang bertempat di Jalan Haji Ahmad Kuantan di sini didapati memperdaya seorang lagi individu berbeza dalam urusan mendapatkan produk Coway dan telah mendorong mangsa untuk menyerahkan wang dengan memasukkan ke dalam enam akaun berbeza sebanyak tujuh kali transaksi berjumlah RM1,435 di mana mangsa tidak akan menyerahkan tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Bagi pertuduhan pertama dan keempat, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Manakala bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29 (a) Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh yang boleh sampai tiga tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.
Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aini Adila Mohd. Faizal di Mahkamah Majistret 1 dan Timbalan Pendakwa Raya Izuain Farhana Ahmad di Mahkamah Majistret 2.
Tertuduh diwakili peguam Syafiqa Syeba, Mohamed Azhari Matiasin dan Mohd. Azlan Mohd. Arish@Arshad dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Bagi kesemua pertuduhan, tertuduh ditawarkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bercagar bagi setiap pertuduhan pertama, kedua dan keempat manakala RM6,000 pagi pertuduhan ketiga.
Bagaimanapun peguam tertuduh meminta agar wang jaminan dikurangkan berikutan tertuduh memperoleh pendapatan RM1,500 sebulan perlu menyara kedua orang tuanya.
Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 bagi setiap pertuduhan pertama, ketiga dan keempat dan RM4,500 bagi pertuduhan kedua selain tidak boleh mengacau ganggu mangsa dan saksi pendakwaan dengan jumlah keseluruhan ikat jamin adalah sebanyak RM15,000.
Majistret menetapkan 13 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam. – UTUSAN










