Pemain, pegawai NSFC bersedia penggunaan sistem VAR - Utusan Malaysia

Pemain, pegawai NSFC bersedia penggunaan sistem VAR

SEORANG pegawai dari Unit Pengadilan FAM memberikan taklimat kepada pegawai dan pemain NSFC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pegawai dan para pemain pasukan Kelab Bolasepak Negeri Sembilan (NSFC) kini bersedia bagi penggunaan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) yang akan bermula untuk saingan Liga Malaysia musim 2024/2025 pada bulan hadapan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi NSFC, Firdaus Bahri, sistem VAR yang akan diguna pakai kelak bukan hanya penting buat pengadil malah kepada para pemain dan pegawai.

“Selain tujuannya adalah untuk memberi bantuan kepada pengadil, sistem VAR ini juga akan banyak membantu pemain terutama berkaitan insiden dalam padang semasa perlawanan.

“Taklimat yang diberikan pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkenaan VAR hari ini merupakan langkah baik bagi memberi pemahaman lanjut kepada pemain dan pegawai mengenai sistem ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat mengenai sistem VAR kepada pemain dan pegawai NSFC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban semalam.

Sebelum ini MFL menerusi kenyataan memaklumkan, siri perlawanan ujian VAR membabitkan kelab-kelab Liga Malaysia bakal diadakan pada 22 April ini hingga 5 Mei.

Sistem VAR yang bakal digunakan tahun ini berkonsepkan VAR mudah alih dan siri perlawanan ujian itu penting untuk MFL menguji kestabilan, kekukuhan dan ketahanan sistem VAR dalam perlawanan kompetitif yang disiarkan secara langsung.

Oleh itu, perlawanan ujian itu juga penting untuk MFL menguji pergerakan VAR ke venue-venue, pengurusan penyiaran, pemahaman pegawai dan pasukan serta tahap kesediaan kemudahan venue terlibat.

Sementara itu, Firdaus memberitahu, Stadium Tuanku Abdul Rahman yang menjadi gelanggang perlawanan buat pasukan NSFC juga menjalani pemeriksaan oleh pihak MFL baru-baru ini bagi persediaan penggunaan sistem VAR tersebut.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN