Pelestarian Sawah Nogori tingkatkan pengeluaran padi di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Pelestarian Sawah Nogori tingkatkan pengeluaran padi di Negeri Sembilan

SELUAS 100 hektar kawasan sawah padi di Negeri Sembilan yang sebelum ini terbiar akan dibangunkan semula menerusi program Pelestarian Sawah Nogori yang diwujudkan bagi meningkatkan pengeluaran padi di negeri ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Negeri Sembilan menyasarkan pengeluarkan padi di negeri ini boleh mencecah sehingga enam tan metrik per hektar bagi setiap musim menerusi pelaksanaan program Pelestarian Sawah Nogori yang akan diwujudkan.

Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Sembilan, Hisyam Yacob berkata, program menerusi peruntukan disalurkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri itu dijangka dapat meningkatkan pengeluaran padi negeri ini daripada purata 3.5 tan metrik per hektar menerusi projek naik taraf sistem sawah selain pendedahan teknologi kepada pengusaha sawah.

“Kita bantu daripada segi penggunaan teknologi, baja-baja berkualiti dan kita pulihkan semula sawah mereka termasuk kita bangunkan 100 hektar sawah-sawah yang dulunya terbiar seketika. 100 hektar sawah itu di Kuala Pilah dan juga di Kampung Londah, Gemas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sekarang ini puratanya Negeri Sembilan mempunyai kira-kira 800 hektar kawasan sawah, pada musim utama pengeluaran padi boleh mencapai 800 hektar namun ada keadaan termasuk ketika kurang hujan, hanya 500 hektar sahaja.

“Negeri Sembilan memang menghadapi isu air dalam penanaman padi, kita di luar kawasan Jelapang Padi, masih belum ada sistem pengairan yang baik, kita cuba atasi tetapi memerlukan peruntukan yang besar,” katanya ketika ditemui di sini.

Dalam pada itu, Hisyam memberitahu, sejak bulan Mac lalu, sebanyak 158 tan metrik beras telah diterima dari sebuah syarikat kilang padi di Selangor hasil tuaian padi di negeri ke yang kemudiannya dihantar ke Pusat Pengumpulan Padi Negeri Sembilan di Kuala Pilah yang seterusnya di proses dan dibungkus di kilang terbabit.

“Kita ada perjanjian dengan kilang padi untuk hasil padi di negeri ini dihantar di situ dan akan dipulang balik dalam bentuk beras, ia sudah bermula dan sudah dijual pada penganjuran program jualan Negeri Sembilan prihatin. Sekarang kita pakai jenama Saga dahulu, masih belum dapat lagi ketetapan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) jenama beras apa yang mahu dipakai,” katanya lagi.

Sementara itu, katanya, syarikat kilang padi terbabit ada menyatakan hasrat untuk sebuah kilang padi dapat dibina di negeri ini.

“Ini kerana terdapat padi-padi yang dibawa dari Pantai Timur seperti di Rompin, Pahang melalui Negeri Sembilan sebelum ke Selangor jadi kenapa tidak ada sebuah kilang padi dibina di Negeri Sembilan. Mungkin boleh campur padi yg ada di Negeri Sembilan, kapasiti mesti dapat 5,000 tan metrik per musim baru boleh buat kilang, jika tidak ia akan merugikan pengilang,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini