Pastikan naik taraf HKL telus – MMA

Pastikan naik taraf HKL telus – MMA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu memastikan kerja-kerja menaik taraf Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang dianggarkan berjumlah RM200 juta dilaksanakan dengan telus.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr, Azizan Abdul Aziz berkata, kerajaan pada masa sama perlu meningkatkan kemudahan di fasiliti kesihatan awam lain.

Katanya, walaupun HKL yang berusia lebih 100 tahun perlu dinaik taraf, kemudahan kesihatan di tempat lain perlu diberi perhatian sama.

“MMA telah menerima maklum balas mengenai beberapa hospital yang sangat memerlukan penyelenggaraan dan peningkatan sewajarnya.

“Beberapa isu dalam fasiliti ini termasuk siling serta paip bocor dan berkarat, panel katil usang dan katil lama dengan hidraulik yang tidak lagi berfungsi. Di sesetengah hospital, pesakit diberi bantuan pernafasan di HDU (Unit Rawatan Separa Rapi) ketika ICU (Unit Rawatan Rapi) penuh, yang mana ia tidak optimum,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan Kementerian Kesihatan (KKM) yang mahu menaik taraf HKL bermula tahun depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pelan pembangunan semula HKL dibuat dalam tiga peringkat membabitkan dua komponen bagi memastikan perkhidmatan sedia ada tidak terjejas malah terus dapat disampaikan kepada rakyat semasa kerja menaik taraf dilakukan.

Katanya, pelan itu dibahagikan kepada dua komponen iaitu perancangan pembinaan blok baharu dan menaik taraf blok utama dengan cadangan kerja naik taraf wad di bangunan utama telah disenaraikan dalam permohonan Rolling Plan Kelima (RP5) 2025 dengan anggaran kos sebanyak RM200 juta kepada Kementerian Ekonomi.

Selain itu, beliau berkata, antara kerja-kerja naik taraf yang telah diluluskan di dalam RP4 pada 2024 ialah kerja awalan penyediaan skop projek dan anggaran kos pembangunan bagi cadangan projek blok tambahan wad ICU dan Institut Kaji Saraf Tunku Abdul Rahman (IKTAR).

Mengulas lanjut, Dr. Azizan berkata, MMA menyarankan kerajaan menjalankan audit penuh ke atas semua fasiliti penjagaan kesihatan awam di seluruh negara.

Katanya, langkah itu bagi menilai dana sewajarnya yang perlu diperuntukkan untuk membaiki, menyelenggara dan menaik taraf fasiliti berkenaan.

“Butiran audit juga perlu didedahkan kepada umum. Selain itu, kerajaan harus mengurangkan kerenah birokrasi yang dalam meminta penyelenggaraan dan naik taraf kerana beberapa isu memerlukan tindak balas segera,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN