KOTA BHARU: Pas tidak akan campur tangan dalam isu tuntutan adendum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, hal ini kerana kes tersebut masih lagi dalam proses perbicaraan di mahkamah.
“Jadi tidak elok untuk mana-mana pihak mencampuri atau mengeluarkan apa-apa kenyataan.
“Sebaiknya kita ambil sikap tunggu dan lihat sahaja perkembangan kes berkenaan. Kita serah kepada mahkamah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Pas Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.
Utusan Online semalam melaporkan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan melihat dan membaca titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman pemenjaraannya di rumah.
Sehubungan itu, beliau menyokong Najib berhubung dakwaan kewujudan titah adendum (tambahan) agar bekas Perdana Menteri itu menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah melalui satu afidavit sokongan yang difailkan pada 9 April lalu.-UTUSAN










