Panggilan ‘mama’ anak Noor Rahiza runtun hati

Panggilan ‘mama’ anak Noor Rahiza runtun hati

NUR Qistina Afia Mohd Azinor (tengah) membaca doa untuk arwah ibunya ketika majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Masjid Haji Nyak Gam, Kampung Ruat, Yan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Suasana pilu menyelubu­ngi majlis pengebumian Allahyarham Bintara Muda Noor Rahiza Anuar apabila anak bongsu arwah tidak henti-henti memanggil ‘mama’ di tepi pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Haji Nyak Gam, Kampung Ruat, di sini.

Nur Qistina Afia Mohd Azinor, 6, yang menangis ter­esak-esak ketika memanggil ibunya itu turut mengundang sebak orang ramai yang berada di sekitar tanah perkuburan itu.

Malah, kelihatan beberapa ahli keluarga cuba menenangkan kanak-kanak itu namun dia tidak dapat menahan ke­sedihan kerana kanak-kanak itu mengerti ibunya telah pergi buat selamanya.

Lebih meruntun perasaan apabila Nur Qistina juga turut menadah tangan dan membaca beberapa surah ringkas termasuklah al-Fatihah untuk arwah ibunya.

Sebaik mendengar bacaan Nur Qistina, ahli keluarga, sanak saudara, rakan-rakan arwah serta penduduk setempat terdiam sebelum bersama-sama mengaminkan doa terbabit.

Nur Qistina ditemani dua kakak kembarnya, Nur Qistina Auni dan Nur Qistina Awliya, 16, serta abangnya, Muhammad Qisti Afif, 15, serta ahli keluarga lain.

SEDIH

Sementara itu, di Lumut, adik Pegawai Waran II Mohd. Shahrizan Mohd. Termizi, sedih dan terkilan kerana tidak menatap wajah Allahyarham buat kali terakhir.

Mohd. Shahril Mohd. Termizi, 40, berkata, mereka diberitahu oleh pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bertugas bahawa keranda yang membawa jenazah abang sulungnya itu dibaluti Ensign pasukan tersebut, tidak boleh dibuka.

Beliau yang juga anak kedua daripada tujuh beradik berkata, hanya ibu bapa mereka iaitu Mohd. Termizi Abdul Ghani, 68, dan Hasnah Yasim, 67, serta adik bongsu, Nur Syakila, 28, berpeluang menatap wajah Allahyarham ketika membuat pengecaman di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Lumut.

Terangnya lagi, difahamkan isteri arwah iaitu Noor Ain Mohammad Ariffin, 41, serta tiga anaknya iaitu Nurul Shahfiqah, 21; Nurul Shahfizah, 20; dan Muhammad Shahfirul Aizad, 15, turut berpeluang menatap wajah Allahyarham ketika jenazah berada di Ipoh.

“Kami rasa terkilan apabila tidak dapat menatap wajah Along (Mohd. Shahrizan) kerana keranda sudah ‘seal’ daripada hospital.

“Begitupun, kami memahami keadaan itu dan dapat menyentuh keranda pun sudah memadai sebagai tanda perpisahan,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Bunga Tanjung, Batu 10, Lekir, kelmarin.

Jenazah Allahyarham tiba di rumah keluarga mereka itu pada pukul 7.40 malam dan ahli keluarga diberi peluang kira-kira 40 minit untuk menziarahi dan mendoakan arwah, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10 Lekir malam semalam.

Menurut Mohd. Shahril, arwah begitu rapat dan sentiasa mengambil berat semua adiknya dengan kali terakhir berjumpa ialah pada sambutan Aidilfitri lalu.

“Kami semua tujuh beradik dapat berkumpul menyambut Hari Raya bersama-sama pada 1 Syawal lalu.

“Ini suasana yang akan dikenang sampai bila-bila kerana tidak pernah kami dapat berkumpul bersama seperti itu kerana kekangan kerjaya masing-masing.

“Tidak sangka gambar beraya bersama menjadi kenangan terakhir bagi kami semua,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN