SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan masih lagi menunggu laporan daripada pihak Jabatan Perikanan Malaysia sebelum tindakan selanjutnya dapat diambil termasuk berkenaan pemberian pampasan kepada penternak dan pengusaha kupang yang terjejas susulan kejadian kupang beracun di perairan Port Dickson baru-baru ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, setakat ini, data serta maklumat lain termasuk jumlah penternak, dan pengusaha yang terjejas masih belum diterima pihak daripada pihak Jabatan Perikanan.
“Kerajaan negeri akan lihat bagaimana sebelum sebarang tindakan selanjutnya dapat diambil,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan sempena pembukaan pasar raya besar AEON BiG Cawangan Ke-22 di Palm Mall, Seremban di sini, hari ini.
Aminuddin dalam pada itu berkata, pihaknya sedia maklum di kawasan Pasir Panjang sememangnya terdapat ramai penternak dan pengusaha kupang khususnya di Kampung Telok dan Sungai Sekawang.
“Peristiwa kupang beracun seperti yang berlaku sejak beberapa hari ini, sudah lama tidak berlaku. Sungguhpun begitu, saya berharap masyarakat dapat mengelakkan daripda makan kupang sementara waktu ini sehinggalah isu ini selesai disiasat sepenuhnya,” katanya.
Kelmarin, Jabatan Perikanan Malaysia mengesahkan kupang di daerah Port Dickson telah dicemari oleh biotoksin berbahaya dan tidak selamat dimakan.
Ia hasil analisis makmal yang dijalankan oleh Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur terhadap air dan sampel dan kupang di perairan Port Dickson dan analisis yang dijalankan mendapati terdapat tiga alga berbahaya iaitu spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia.
Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) Jabatan Perikanan Malaysia, Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, pihak jabatan akan meneruskan pemantauan berterusan dengan melakukan pengujian secara berkala mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sehingga kepadatan sel di dalam air berkurang dan biotoksin di dalam isi kupang tidak dikesan.
Katanya, pada kebiasaannya tempoh masa seminggu diambil untuk ujian makmal dibuat semula pihaknya akan mengambil masa selama 20 hari dan selepas itu jika dua kali analisis mendapati ia selamat, pihaknya akan mengisytiharkan kerang-kerangan kawasan di Port Dickson kembali selamat untuk dimakan.
Menurutnya lagi, dalam tempoh sekarang, tindakan penguatkuasaan akan diambil bagi tidak membenarkan kerang-kerangan di Port Dickson termasuk kupang dan kerang untuk dituai, dikeluar dan dijual di pasaran awam namun kupang-kupang sedia ada yang belum dituai oleh penternak tidak akan dilupuskan.-UTUSAN.










