RAUB: Seorang murid perempuan terpaksa menahan sakit hampir 20 minit selepas kakinya tersepit pada jeriji besi longkang di sekolahnya di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa berusia 7 tahun dikatakan berjalan di atas penutup longkang itu sebelum kaki kanannya tiba-tiba termasuk di celah jeriji.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub, Khairul Anuar Yaacob berkata, pihaknya menerima panggilan untuk operasi khidmat khas membantu murid terbabit pada pukul 10.21 pagi.
“Sepasukan enam pegawai dan anggota dari BBP Raub bergegas ke tempat kejadian dengan menaik dua jentera.
“Setiba di sekolah berkenaan, anggota bomba menggunakan alat pemotong hidraulik untuk merenggangkan jeriji besi dan mengeluarkan kaki mangsa. Operasi mengambil masa kira-kira 10 minit,” katanya di sini hari ini.
Khairul Anuar berkata, mangsa bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan akibat daripada kejadian tersebut. – UTUSAN










