KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyatakan, mana-mana individu yang menyembunyikan titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa yang membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani perintah tahanan di rumah sedang melakukan kesalahan yang besar.
Peguam itu berkata, tiada sesiapa boleh mempertikaikan perintah dibuat YDPA, apatah lagi menyembunyikannya.
“Mereka memang sah sedang melakukan kesalahan yang sangat serius. Awak tidak boleh menyembunyikan, ini titah Yang di-Pertuan Agong, awak kena patuh. Bukan sahaja mereka tidak melaksanakannya, mereka sembunyikan (pula).
“Perkara ini tidak pernah berlaku, ini pertama kali,” kata Muhammad Shafee.
Peguam terbabit berkata demikian ketika ditemui selepas prosiding pendengaran semakan kehakiman yang difailkan oleh bekas Perdana Menteri itu berhubung titah adendum (tambahan) di Mahkamah Tinggi di sini.
Selain itu, peguam terbabit turut menyatakan, tindakan `berdiam diri’ tujuh responden yang dinamakan dalam semakan kehakiman itu terhadap surat yang dihantar oleh pihak Najib yang memohon pengesahan berhubung titah adendum itu tidak ubah seperti `diam tandanya setuju’.
Tujuh responden tersebut ialah Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara Malaysia, Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan Dan Putrajaya dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi); Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Di Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia.
“Terdapat peruntukan undang-undang yang menyatakan walaupun mereka tidak mempunyai kewajiban untuk menjawab surat saya namun jika mereka tidak memberikan sebarang jawapan, ia akan memberi tanggapan buruk pada mereka,” kata Muhammad Shafee.
Pada 1 April lalu, Najib memfailkan semakan kehakiman antara lain mendakwa selain perintah pengurangan hukuman penjara dan pengurangan jumlah denda, terdapat perintah tambahan (titah adendum) yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada “tahanan di rumah” dan bukannya di Penjara Kajang.
Pada 29 Januari lalu, Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa memutuskan Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara dari 12 tahun kepada enam tahun selain pengurangan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Hari ini, media memperoleh sesalinan afidavit yang difailkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengesahkan beliau telah melihat dan membaca salinan titah adendum terbabit.
Kata Presiden UMNO dalam afidavit yang menyokong semakan kehakiman Najib itu, titah adendum itu jelas menunjukkan bahawa bekas Ahli Parlimen Pekan itu perlu menjalani baki hukuman penjaranya di rumah dan bukannya di Penjara Kajang.- UTUSAN










