KUANTAN: MCA dan MIC diharap mempertimbangkan semula keengganan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia perlu dilakukan agar kemenangan PRK pada 11 Mei ini kekal milik Kerajaan Perpaduan.
“Saya mengambil maklum tentang keengganan MCA dan MIC untuk turun berkempen sekiranya kerusi DUN itu tidak ditandingi calon daripada BN.
“Saya menghormati keputusan kedua-dua parti tersebut, tetapi sebagai rakan kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan, kita juga harus menerima apa jua keputusan untuk meletakkan siapa calon sesuai bertanding,” kata beliau di sini.
Wan Rosdy yang juga Menteri Besar berkata, formula kerjasama ini sudah memberikan peluang lebih baik seperti mana kemenangan dicapai oleh BN ketika PRK Pelangai dan juga Tioman.
KEENGGANAN
“Saya juga melihat keengganan MCA dan MIC untuk memberi kerjasama tidak mendatangkan kebaikan kepada parti tersebut, sebaliknya tindakan itu akan menjauhkan lagi mereka daripada masyarakat yang diwakili,” katanya.
Sebelum ini, Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA memutuskan untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu sekiranya calon dikemukakan bukan daripada BN.
MIC sebelum ini turut membuat keputusan sama dengan alasan serupa.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong daripada DAP yang mewakili Pakatan Harapan (PH) pada 21 Mac lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu minggu depan sebelum hari pengundian pada 11 Mei ini.
Bagaimanapun, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, MIC menafikan dakwaan parti tersebut memboikot kempen PH pada PRK Kuala Kubu Baharu.
Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, beliau menerima panggilan daripada Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran yang menafikan dakwaan tersebut dan memberitahu akan turun ke Kuala Kubu Baharu hari ini.
“Tak betul, Presiden MIC telefon, beritahu dia akan pergi esok (Isnin). Dia kata dia akan tolong (kempen) di PRK Kuala Kubu Baharu.
“Vigneswaran sebut macam itu. Tak betul laporan-laporan kata dia takkan beri kerjasama,” katanya ketika ditemui pemberita pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Shah Alam semalam. – UTUSAN










