PUTRAJAYA: Malaysia menggesa negara-negara yang menggantung sumbangan mereka kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) supaya meneruskan semula bantuan kewangan.
Ini bagi membolehkan badan berkenaan menjalankan tanggungjawabnya dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan termasuk perlindungan kesihatan, pendidikan dan kebajikan rakyat Palestin di Gaza.
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan memaklumkan, ini susulan hasil siasatan laporan akhir penilai bebas yang menolak tuduhan Israel mengaitkan penglibatan kakitangan UNRWA dengan organisasi-organisasi pengganas.
“Israel secara berterusan menyebarkan propaganda penipuan, tipu daya dan gambaran yang salah mengenai fungsi dan aktiviti-aktiviti UNRWA.
“Tuduhan yang tidak berasas oleh Israel itu bukan sahaja memburukkan reputasi organisasi berkenaan, malah menyebabkan beberapa negara penyumbang menggantung sumbangan kewangan mereka,’’ kata kenyataan itu.
Kumpulan Penilai Bebas ditubuhkan Setiausaha Agung PBB pada 5 Februari lalu untuk menyiasat dakwaan Israel ke atas kakitangan UNRWA yang kononnya terlibat dengan serangan pada 7 Oktober tahun lalu.
Kajian bebas yang diketuai bekas Menteri Luar Perancis, Catherine Colonna itu mendedahkan Israel tidak mengemukakan bukti yang boleh dipercayai untuk menyokong dakwaan itu.
Paling malang, tuduhan terhadap UNRWA menyebabkan defisit pembiayaan yang besar apabila beberapa negara penderma dunia mengumumkan pemotongan pembiayaan mereka. – UTUSAN











