Kenyataan Johari seolah-olah kerajaan gagal tangani isu beras tempatan - Jasri - Utusan Malaysia

Kenyataan Johari seolah-olah kerajaan gagal tangani isu beras tempatan – Jasri

JASRI JAMALUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Saranan dibuat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul supaya rakyat makan ubi kayu sebagai sumber alternatif karbohidrat bagi menggantikan beras disifatkan tidak masuk akal seolah-olah menggambarkan kerajaan Pusat ketika ini gagal menyelesaikan isu berhubung bekalan dan harga makanan ruji tersebut.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Maran, Datuk Jasri Jamaludin berkata, adakah Johari tahu bahawa makan ubi kayu tidak baik untuk kesihatan dan ia boleh menyebabkan penyakit contohnya seperti beri-beri.

“Ubi kayu juga mempunyai toksin semula jadi yang dinamakan Linamarin dan membebaskan hidrogen sianida yang boleh menyebabkan koma. Penyediaan dan memasak ubi kayu wajib dipastikan dengan cara-cara yang betul, harus direndam dan dibuang kulit sebaiknya.

“Harga ubi kayu juga bukanya murah. Semakan melalui internet menyatakan purata harga antara RM6 hingga RM7 sekilogram. Ia lagi mahal daripada beras dan bagaimana dengan bekalannya di pasaran?

“Pada saya cukup-cukuplah kerajaan Madani memperlekeh dan memperbodohkan rakyat. Dulu menteri formula mengatakan kalau ayam mahal jangan kita makan ayam. Kali ini Yang Dipertua Dewan Rakyat pula mengeluarkan kenyataan yang tidak matang begini,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Johari dilaporkan berkata, rakyat tidak boleh terus bergantung kepada nasi memandangkan ia boleh diganti dengan makanan lain seperti ubi kayu sebagai sumber alternatif karbohidrat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat itu berkata, ubi kayu mampu menjadi pilihan terbaik ketika ini sementara menunggu isu bekalan beras putih tempatan (BPT) selesai.

Johari dilaporkan berkata, langkah sedemikian juga boleh menjadi antara jalan keluar daripada kepompong yang sedia ada termasuk tidak membiarkan isu beras mengawal keadaan rakyat di negara ini.

Mengulas lanjut, Jasri berkata, timbul persoalan adakah Johari mahu menyindir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu supaya berundur dan meletak jawatan kerana gagal menyelesaikan kemelut stok BPT yang hilang di pasaran dan gagal mengawal harga beras supaya tidak melambung tinggi.

“Tan Sri Johari juga secara tidak langsung dengan jelas telah mengakui kegagalan kerajaan Madani dalam menjaga kebajikan rakyat. Beras ini makanan ruji rakyat Malaysia dan kegagalan ini menyebabkan rakyat begitu terbeban dengan kos makanan harian mereka.

“Adakah patut beliau mahu kita kembali ke zaman penjajahan Jepun seperti dahulu. Saya masih ingat cerita datuk nenek kita bagaimana mereka terpaksa lari masuk ke dalam hutan dan hanya makan ubi kayu sebagai makanan harian yang ditanam apabila kampung mereka diserang Jepun.

“Zaman itu memang rakyat sangat susah dan tiada duit. Memang tidak masuk akal langsung saranan dinyatakan Johari, ia bagai menghina pemikiran intelektual rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN