Lelaki ditangkap berhubung kes jururawat ditemukan tertiarap akibat dipukul - Utusan Malaysia

Lelaki ditangkap berhubung kes jururawat ditemukan tertiarap akibat dipukul

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang lelaki berusia 34 tahun ditangkap berhubung kes seorang jururawat ditemukan tertiarap  di tepi jalan simpang tiga Dangi, dekat Johol, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani berkata, suspek berkenaan ditangkap kira-kira pukul 4 petang semalam selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah bagi memberikan keterangan.

Menurutnya, perintah reman ke atas suspek juga telah diperoleh dari Mahkamah Kuala Pilah selama empat hari bermula hari ini.

“Hubungan suspek dengan mangsa serta motif kejadian bagaimanapun masih dalam siasatan. Tangkapan ini adalah bagi membantu siasatan berhubung kes ini,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, seorang jururawat wanita lengkap beruniform ditemukan orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri tertiarap di tepi jalan pada 19 April lalu.

Hasil siasatan lanjut ke atas mangsa yang berusia 30-an mendapati mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja dari arah Hutan Percha, Melaka menuju ke pekan Kuala Pilah.

Menurutnya, sebaik tiba di persimpangan Dangi di sini mangsa mengatakan telah dihimpit oleh sebuah kenderaan membuatkan mangsa terpaksa memberhentikan kenderaan.

Suspek dikatakan telah membuka pintu kereta mangsa, menarik mangsa keluar dan kemudiannya menumbuk mangsa di bahagian muka beberapa kali, selain telah dipukul oleh objek tumpul di bahagian belakang kepala.

Kes berkenaan disiasat di bawah seksyen 324 kanun keseksaan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×