PEKAN: Lebih 12,000 anak perantau dijangka pulang ke gugusan Felda Chini bagi menunaikan tradisi yang setiap tahun dilakukan setiap kali tibanya bulan Syawal.
Kesempatan itu tentunya suatu kegembiraan khususnya kepada perantau yang terpaksa berjauhan dengan ibu dan ayah tercinta kerana menetap serta bekerja di negeri lain.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Mohd. Sharim Md. Zain berkata, jumlah anak perantau itu membabitkan lapan tanah rancangan Felda di gugusan Chini.
“Saya harap semua anak perantau memandu dengan berhati-hati dan tidak memaksa diri.
“Jika penat atau mengantuk, saya harap boleh berhenti dahulu untuk berehat sebelum kembali meneruskan perjalanan untuk keselamatan diri dan keluarga,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini di Dataran Chini di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 142 anak yatim dalam DUN Chini berusia 12 tahun ke bawah menerima sumbangan duit raya.
Mengulas tentang majlis berbuka puasa tersebut, Mohd. Sharim berkata, ia julung kali diadakan di Dataran Chini di sini.
“Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat bagi menjayakan majlis ini. Terima kasih juga kepada semua penduduk yang hadir berbuka puasa hari ini.
“Semoga majlis sebegini akan terus mengeratkan silaturahim antara penduduk di gugusan Felda Chini,” katanya. – UTUSAN










