Lapan anggota FRU didakwa simpan hidupan liar tanpa lesen - Utusan Malaysia

Lapan anggota FRU didakwa simpan hidupan liar tanpa lesen

PEGAWAI Perhilitan membawa eksibit ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi pendakwaan terhadap lapan orang anggota FRU yang dituduh menyimpan hidupan liar dilindungi tanpa lesen iaitu lapan bahagian pelanduk pada tahun 2021-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Lapan orang anggota polis Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini, atas pertuduhan menyimpan hidupan liar dilindungi tanpa lesen iaitu lapan bahagian pelanduk, pada tahun 2021.

Kesemua tertuduh, iaitu Rusli Che Noh, 42; Jafri Md Taib, 49; Mohamed Khalid Ibrahim 50; Azaruddin Yahaya 40; Mohd. Izammuddin Zainol, 38; Mohd. Yusof Mohamed Yunos 39; Mahadir Osman, 41 dan Jasius Joseph, 36, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim, Mazni Nawi. 

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh telah secara bersama didapati menyimpan lapan bahagian pelanduk (tragulus javanicus) tanpa lesen iaitu hidupan liar yang dilindungi dibawah jadual pertama, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) di dalam sebuah tong Coleman yang diletakkan di bahagian belakang sebuah kenderaan jenis Land Rover.

Perbuatan itu dilakukan di lokasi GPS No. Koordinat X: 464907; Y; 304338, Jalan Besar Kampung Talang, Empangan Talang, Kuala Pilah, kira-kira pukul 1 petang pada 17 Januari 2021. 

Berikutan itu, kesemua tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 60(1)(b), Akta 716 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 60(1) Akta yang sama. 

Sekiranya disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebih dua tahun atau kedua-duanya sekali. 

Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Amanina Mohamad Anuar bersama Gilmoore Bolongan memohon mahkamah mengenakan wang jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh. 

Peguam, Datuk Hanif Hassan yang mewakili tertuduh kedua iaitu Jafri manakala tertuduh selebihnya yang tidak diwakili peguam memohon agar mahkamah membenarkan wang jaminan yang paling minimum dikenakan memandang kesemua mereka mempunyai tanggungan isteri serta anak yang masih bersekolah selain kewangan terhad. 

Tertuduh juga dalam rayuan turut akan memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan perbicaraan kes tersebut berjalan dengan lancar.

Mazni kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap setiap tertuduh dan kes akan disebut semula pada 12 Jun depan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN