JOHOR BAHRU: Biarpun banyak kali diingatkan bahawa tidak wujud pelaburan yang menawarkan keuntungan segera dan berlipat ganda, namun masih ada yang terjerat dengan helah sama.
Terbaharu, seorang kerani wanita berusia 47 tahun berputih mata apabila wang simpanan berjumlah RM127,000 lesap angkara terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, wanita itu tertarik dengan pulangan yang dijanjikan skim pelaburan tersebut.
“Mangsa telah melakukan empat transaksi pembayaran secara dalam talian ke dalam tiga akaun bank berbeza sejak 17 April hingga Jumaat lalu berjumlah RM127,000.
“Pembayaran itu sebagai modal pelaburan dan pembayaran cukai keuntungan bagi mengeluarkan semula modal pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Mohd. Sohaimi berkata, mangsa pada awalnya melabur sejumlah wang dan mendapat pulangan melebihi 100 peratus daripada pelaburan tersebut menyebabkan mangsa menggandakan jumlah pelaburan.
Walau bagaimanapun, mangsa tidak lagi menerima sebarang pulangan, sebaliknya suspek mengarahkan mangsa membuat bayaran tambahan atas pelbagai alasan.
“Tindakan mencurigakan suspek itu membuatkan mangsa menyedari bahawa dirinya telah menjadi mangsa penipuan,” katanya sambil memberitahu kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










