KUALA LUMPUR: Rayuan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali terhadap sabitan salah dan hukuman penjara selepas didapati bersalah menganiaya dan mengabaikan seorang remaja sindrom Down yang sepatutnya diputuskan semalam ditangguhkan ke 2 Mei ini.
Penangguhan dimaklumkan peguam, Haijan Omar ketika dihubungi media.
Penangguhan dan tarikh baharu tersebut dimaklumkan oleh Mahkamah Tinggi di sini melalui e-mel bertarikh 22 April lalu.
Pada 3 Mei 2023, Siti Bainun dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella yang disabitkan ke atasnya.
Wanita itu juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini dari Februari hingga Jun 2021.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.
Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan Siti Bainun gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dua pertuduhan tersebut.
Mahkamah turut menolak permohonan Siti Bainun untuk menangguhkan hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhkan ke atasnya sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Berikutan itu, Siti Bainun menjalani hukuman penjara serta-merta di Penjara Kajang bermula tarikh disabitkan dengan kesalahan tersebut. – UTUSAN










