TELUK INTAN: “Keputusan di mana akan dikebumikan akan ditentukan apabila saya sampai di New Zealand nanti.”
Demikian maklum bapa kepada pelajar Malaysia yang terkorban dalam nahas jalan raya di Lake Tekapo, New Zealand kelmarin yang berlepas ke negara itu semalam.
Megat Irman Jefni berkata, dia ke New Zealand untuk urusan jenazah anaknya, Megat Ashman Aqif di negara tersebut.
“Saya akan ke New Zealand esok (hari ini). Saya belum buat keputusan jenazah akan dikebumikan di mana,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, pada program di Lumut, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan membantu urusan membawa pulang jenazah dua pelajar Malaysia yang terkorban dalam nahas jalan raya di Lake Tekapo, New Zealand.
Walau bagaimanapun, kata Zambry, terserah kepada keluarga pelajar tersebut terlebih kerana perbincangan perlu diadakan bersama mereka.
Sebelum itu, Kementerian Luar melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, New Zealand mengesahkan kemalangan jalan raya yang mengorbankan dua pelajar warganegara Malaysia.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian yang berlaku di Lake Tekapo pada pukul 1.45 petang waktu tempatan itu turut membabitkan tiga lagi pelajar yang cedera.
Ketiga-tiga pelajar itu telah dihantar ke Hospital Christchurch, South Islands, New Zealand untuk mendapatkan rawatan segera.
Menurut Wisma Putra, dua pelajar yang disahkan maut ialah Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni dan Wan Nur Adlina Alisa dari University of Canterbury.
Manakala, tiga lagi pelajar yang cedera dalam kemalangan sama ialah Nur Firas Wafiyyah dan Lya Issable Anak Walton dari University of Canterbury serta Muhamad Faris Mohd Fairusham dari Victoria University of Wellington. – UTUSAN










