SEREMBAN: Mahkamah Koroner Seremban di sini, hari ini menetapkan tarikh 31 Julai depan untuk keputusan inkues mencari punca kematian seorang bayi perempuan, Nour Rania Asyifaa Yuseri atau ‘Baby Syifaa’ yang telah dilaksanakan prosidingnya lebih setahun lalu.
Koroner, Datin Surita Budin turut menetapkan tarikh 25 Jun ini sebagai tarikh untuk memfailkan hujahan bertulis dan 9 Julai tarikh bagi hujahan balas sebelum keputusan diberikan.
Seramai 28 saksi dipanggil memberi keterangan termasuk ibu dan bapa Baby Syifaa sepanjang prosiding inkues bermula 22 September 2022.
Terdahulu pada prosiding hari ini, saksi akhir, Nur Asyikin Zakaria, 39, yang merupakan jiran pusat asuhan Baby Syifaa telah memberi keterangan.
Mahkamah pada hari ini turut memainkan rakaman audio perbualan antara keluarga Baby Syifaa dengan suri rumah terbabit menerusi pertemuan diadakan mereka pada 29 Ogos 2022 di sebuah rumah kelab di daerah ini.
Nur Asyikin memberitahu mahkamah yang pertemuan itu berlangsung selama tiga jam dan tanpa pengetahuan suaminya.
Ketua Pengendali Inkues, Zahida Zakaria kemudiannya mempersoalkan wanita itu kenapa tidak memberitahu suami untuk berjumpa dengan keluarga Baby Syifaa.
“Suami saya minta jangan campur urusan kes ini kerana dia kata saya banyak tidak pasti daripada pasti. Saya setuju dengan suami kerana apa yang saya pasti itu sedikit saja,” katanya.
Peguam keluarga Baby Syifaa, Gaithri Thomas turut mempersoalkan perkara sama dan wanita itu menjelaskan yang dia mula bersetuju dengan pandangan suaminya selepas memberi keterangan kepada polis.
Selain itu, menerusi audio berkenaan, Nur Asyikin turut memberitahu terdapat seorang lelaki tidak dikenali telah datang ke taska pada waktu pagi dan petang berjumpa dengan pengasuh taska.
Menurutnya lagi, selepas beberapa hari kejadian, dia melihat sebuah kereta Proton Saga berwarna merah dipandu pengasuh seolah-olah membuat rondaan di lokasi kejadian.
Suri rumah terbabit yang kini menetap di Johor Bahru telah pun dipanggil pada prosiding Januari lalu, namun gagal untuk hadir sebelum mahkamah mengarahkan notis sapina diserahkan kepadanya.
Media sebelum ini melaporkan, Baby Syifaa yang berusia 15 bulan ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman di Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.
Pada 30 Mac 2022, bapa bayi itu, Yuseri Yusoff mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian.










