Kasut: Rampasan tertinggi dibuat di Johor - Kumar - Utusan Malaysia

Kasut: Rampasan tertinggi dibuat di Johor – Kumar

M. KUMAR mengadakan sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kebanyakan kasut yang dirampas kerana didakwa mempunyai reka bentuk logo mirip kalimah Allah adalah dari negeri ini.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, pihaknya telah merampas sejumlah 892 pasang kasut berkenaan setelah menyerbu 10 premis jenama itu di negeri ini semalam.

“Setelah operasi dijalankan, sebanyak 892 pasang kasut yang tertera kalimah berkenaan telah dirampas. Jumlah itu merupakan yang terbesar berbanding rampasan di negeri-negeri lain.

“Tindakan ini diambil untuk membolehkan siasatan dibuat terlebih dahulu. Operasi berkenaan kasut ini di Johor telah diselesaikan dan keadaan terkawal,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan polis telah merampas sebanyak 1,145 pasang kasut jenama itu bagi membantu siasatan kes tersebut di beberapa negeri iaitu Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kedah.

Menurutnya, pihak polis juga  akan memanggil penjual atau syarikat pengeluar kasut untuk membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, tular dalam media sosial beberapa pengguna mendakwa terdapat kalimah Allah di bahagian tapak kasut yang dibeli mereka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN