TEMERLOH: Kerajaan disaran segera mengkaji kaedah pembayaran tol membabitkan lebuh raya di negara ini yang dianggap sudah ketinggalan zaman dan menjadi penyumbang kesesakan jalan raya melampau terutama pada waktu puncak seperti musim perayaan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, tol berpalang yang masih digunakan sehingga kini dianggap sistem zaman kuno dan hanya diguna pakai oleh negara dunia ketiga.
Jadi beliau berkata, sampai masanya Malaysia mengubah kaedah pembayaran tol dengan tidak hanya bergantung kepada sistem sedia ada seperti Touch ‘n Go seperti mana dilaksanakan di negara Eropah.
“Rakyat sudah penat dan letih kerana setiap kali setiap kali waktu puncak dan cuti umum, jalan raya pasti sesak terutama di plaza-plaza tol disebabkan banyak kereta perlu beratur untuk melalui tol sistem tol berpalang yang digunakan di lebuh raya.
“Apabila sistem berpalang, semua kenderaan terpaksa memperlahankan kenderaan sebelum membayar tol, itu belum ambil kira baki kad tidak cukup dan kegagalan sistem membaca kad pintar atau smart tag.
“Jadi sistem ini perlu segera diubah, lihat seperti mana dilaksanakan di negara-negara Eropah dan kerajaan perlu melabur ke arah itu demi memastikan isu kesesakan melampau di lebuh raya ini tidak terus menghantui rakyat,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu kesesakan jalan raya melampau di Lebuhaya Pantai Timur (LPT) sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini terutama membabitkan laluan di Karak dan juga Bentong.
Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, kesesakan melampau di LPT dan Lebuhraya Kuala Lumpur Karak (KLK) bukan perkara baharu sebaliknya sudah lama berlaku kerana penduduk Pantai Timur khususnya Kelantan banyak yang berhijrah serta bekerja luar dari negeri berkenaan.
“Lebuhraya Central Spine Road (CSR) apabila siap sepenuhnya nanti dan ada plaza tol, saya percaya ia tidak mengurangkan kesesakan sebalik lebih sesak ketika waktu puncak terutama musim perayaan kerana ramai pengguna jalan raya khususnya dari negeri Kelantan tertumpu di laluan itu.
“Jadi apa penyelesaiannya? Itu kerajaan perlu segera kaji dan ubah sistem sedia ada ketika ini kepada satu sistem yang lebih efisien. Jika jalan sesak, kerajaan yang akan menerima kesannya kerana rakyat akan menyalahkan kerajaan,” katanya.
Beliau dalam pada itu mencadangkan kerajaan atau syarikat konsesi lebuh raya supaya benar-benar mengaplikasikan pemberian tol secara percuma.
“Jika beri tol percuma, tidak perlu guna palang, sebab beri tol percuma untuk elak kesesakan jalan raya. Tapi bila sistemnya sama, rakyat tetap perlu guna kad Touch ‘n Go, tiada guna beri tol percuma.
“Kerajaan atau syarikat konsesi lebuh raya perlu memikirkan sistem terbaik untuk mengira jumlah kenderaan yang melalui lebuh raya berkenaan, bukan terus kekal dengan cara lama yang ketinggalan zaman dan menyusahkan rakyat,” katanya.
Berhubung kesesakan di LPT dan KLK, beliau mencadangkan kerajaan menutup sebuah plaza tol di situ antara Karak dan Bentong.
“Salah satu plaza tol antara Karak atau Bentong perlu ditutup. Jaraknya terlalu dekat dan ia menyumbang kepada kesesakan melampau pada waktu puncak,” katanya. – UTUSAN










