PETALING JAYA: Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut minggu depan mula menyaksikan sebahagian besar daripada kira-kira 23 juta umat Islam di negara ini memulakan tradisi balik kampung.
Sejak semalam, ramai yang sudah mula bergerak pulang ke kampung halaman dengan dijangkakan 12.6 juta kenderaan bakal menggunakan lebuh raya di seluruh negara.
Bilik hotel dan inap desa di beberapa negeri juga dilaporkan hampir habis ditempah oleh para perantau untuk pulang menyambut hari raya bersama keluarga masing-masing.
Selain pulang beraya, amalan kunjung-mengunjung juga akan menyaksikan pergerakan besar-besaran kenderaan di jalan utama dan lebuh raya di seluruh negara.
Senario ini sudah pun dilihat sejak semalam dengan stesen dan terminal pengangkutan awam mula dibanjiri orang ramai yang mahu menuju destinasi masing-masing.
Dianggarkan lebih 12.6 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya di seluruh negara untuk pulang ke kampung sepanjang Op Selamat 22 sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Op Selamat 22 yang bermula Isnin ini hingga Sabtu depan di seluruh negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, walaupun bermula Isnin ini, pihaknya menjangkakan lebuh raya serta jalan-jalan di seluruh negara mula sesak minggu ini.
“Ini ekoran semalam (Jumaat) merupakan hari terakhir persekolahan sebelum cuti Hari Raya bermula.
“Jadi, orang ramai tidak kira yang merayakan Hari Raya Aidilfitri atau sebaliknya akan menggunakan peluang ini untuk pulang ke kampung atau bercuti.
“Sehubungan itu, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan kira-kira 2.1 juta kenderaan sehari menggunakan semua rangkaian lebuh raya kendaliannya menjelang Hari Raya Aidilfitri ini. Jadi kita anggarkan kira-kira 12.6 juta selama enam hari Op Selamat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Mengulas lanjut, jelasnya, seramai 5,953 pegawai dan anggota ditugaskan bagi mengawal aliran trafik kesesakan di seluruh negara.
Menurut beliau, pihaknya mengenal pasti sebanyak 46 lokasi titik hitam di lebuh raya utama yang kerap berlaku kemalangan maut.
“Selain itu, sebanyak 76 lokasi turut dikesan di jalan persekutuan yang menghubungkan pergerakan antara negeri ke negeri,” ujarnya.
Mohd. Azman turut mengingatkan orang ramai agar memandu secara berhemah selain sentiasa peka dan berhati-hati ketika memandu.
“Rancang perjalanan, periksa kenderaan dan pastikan ia dalam keadaan baik sebelum pulang ke kampung.
“Yang penting, sentiasa sabar dan bertolak ansur antara satu sama lain agar selamat tiba ke destinasi,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain melancarkan Op Selamat 22 sempena Hari Raya Aidilfitri secara dalam maya dengan tema Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi.
Beliau dilaporkan berkata, kebersamaan masyarakat dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat ditagih dalam memastikan kempen Op Selamat 22 sempena Hari Raya Aidilfitri mencapai sasarannya. – UTUSAN










