JERANTUT: Seorang peniaga di daerah ini tidak menang tangan apabila jualan ikan salai tilapia dan patin laris pada bulan Ramadan ini sehingga mencecah 200 ekor sehari.
Asrah Ahmad, 50, menjual ikan salai itu di tepi jalan raya Jerantut ke Maran, berdekatan Kampung Jerantut Feri di sini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Asrah berkata, boleh dikatakan setiap kali Ramadan, permintaan terhadap ikan salai liar meningkat bukan sahaja dalam kalangan pelanggan tempatan, malah penggemar dari luar daerah ini.
“Memandangkan permintaan meningkat pada bulan puasa, suami saya, Azman Zainuddin, 52, mula menyalai ikan patin dan tilapia selepas solat Subuh setiap hari dalam tempoh sejam setengah.
“Kebiasaanya sudah ada pelanggan yang menunggu seawal pukul 8 pagi lagi untuk mendapatkan ikan salai panas untuk dimasak sebagai persiapan berbuka puasa,” katanya di Jerantut Feri di sini semalam.
Menurut Asrah, memandangkan ikan salai laris menjelang tengah hari, dia menyediakan ikan salai patin dan tilapia kira-kira 200 ekor atau antara 50 hingga 60 kilogram pada bulan Ramadan ini.
Malah, bekalan terpaksa ditambah setiap kali cuti hujung minggu apabila pelanggan luar balik ke kampung dan mengunjungi Taman Negara Kuala Tahan.
Dia menambah, ikan salai itu dijual dengan harga RM60 sekilogram, manakala ikan hidup spesies sama, RM22 sekilogram. Ikan-ikan berkenaan diternak dalam sangkar milik mereka di Sungai Pahang berdekatan Kampung Lada dekat sini.
Mendedahkan rahsia keenakan ikan salainya, Asrah menjelaskan, kedua jenis ikan itu yang disiang (dibelah dua) dan kemudian dicampur kunyit, serbuk lada dan garam disalai di atas bara api kayu terpilih antara satu setengah hingga dua jam. – UTUSAN










