PETALING JAYA: Che’gu Bard atau Badrul Hisham Shaharin akan dituduh di mahkamah hari ini kerana membuat hantaran didakwa berbaur hasutan dan fitnah terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kenyataan malam tadi berkata, lelaki itu akan dihadapkan ke Mahkamah Jalan Duta dengan dua pertuduhan atas kesalahan menfitnah dan menghasut.
“Che’gu Bard akan dituduh pada 9.30 pagi di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948.
“Ia berhubung kenyataan yang dimuat naik di Facebook berbaur fitnah dengan menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong selain mendatangkan kebencian terhadap Sultan Ibrahim berkaitan isu pemilik KK Mart datang mengadap,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain mengesahkan pihaknya membuka kertas siasatan berhubung hantaran yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan isu pembinaan kasino di Forest City selain melibatkan Yang di-Pertuan Agong.
Susulan itu, beliau dilaporkan berkata, reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah telah dimohon dan dibenarkan oleh Majistret Mahkamah Kuala Lumpur selama dua hari sehingga hari ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan kebencian atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana rajq dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (1998) iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan,” katanya.- UTUSAN










