Ibu bapa sukar terima kehilangan Leftenan T. Sivasutan - Utusan Malaysia

Ibu bapa sukar terima kehilangan Leftenan T. Sivasutan

IBU mendiang Leftenan T. Sivasutan dalam keadaan bersedih berikutan kematian anaknya dalam kejadian helikopter terhempas di Lumut semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERUAS: “Ibu bapa mendiang terlalu sedih kerana satu-satunya anak lelaki mereka hilang sekelip mata”.

Demikian kata M. Sivanesan, 23, sepupu kepada Leftenan T. Sivasutan, 31, yang terkorban dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut semalam.

Menurut Sivanesan, ibu bapa mendiang mengetahui kejadian menimpa anak tunggal lelaki daripada tiga beradik itu ketika berada di sebuah kuil di Teluk Intan.

Katanya, kedua-dua warga emas yang merupakan pesara guru itu sehingga kini masih terkejut dan sukar menerima hakikat kehilangan Sivasutan.

“Keadaan ibu bapa mendiang tidak okey selepas pulang dari hospital, mereka masih belum dapat terima yang satu-satunya anak lelaki mereka maut dalam kejadian itu.

“Isteri mendiang juga dalam keadaan lemah. Mereka kini ditenangkan oleh saudara-mara, jadi waktu sekarang tidak sesuai untuk di temubual,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan rumah mendiang di Taman Serdang Jaya, Sitiawan di sini.

Menurut Sivanesan, hubungannya dengan mendiang rapat dan lelaki yang mesra disapa dengan panggilan abang itu juga pernah berpesan agar dia dapat tengok-tengokkan keluarganya.

“Abang seorang yang sangat baik, dia tidak pernah tinggikan suara apabila bercakap. Abang minat bidang ketenteraan dan memang mahu menjadi anggota TLDM.

“Sebagai antara sepupu yang rapat, saya amat terasa dengan kehilangan abang. Sukar untuk terima sebab orang yang selalu datang rumah dan menjadi tempat bercerita, tiba-tiba sahaja hilang,” ujarnya.

Tambahnya, mendiang yang juga bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berkhidmat bersama TLDM hampir lapan tahun lalu dan sebelum ini bertuga di Sandakan, Sabah.

“Sekarang ini kakak dan adik perempuan mendiang berada di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk menunggu proses bedah siasat dan kalau semua selesai kami akan menguruskan (upacara kematian) esok,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN