KUANTAN: Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai iklan atau testimonial ubat-ubatan tidak berdaftar serta produk kosmetik tidak bernotifikasi yang dijual pada harga rendah secara dalam talian.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Datuk Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, kebanyakan ubat tidak berdaftar yang dijual secara dalam talian mempunyai steroid, sedangkan ia terkawal dan hanya dikeluarkan dengan persetujuan doktor.
“Ubat seperti steroid ini boleh memberi kesan sampingan yang amat ketara sekiranya dimakan secara tidak terkawal kerana ia boleh merosakkan buah pinggang dan tulang serta amat berbahaya.
“Antara jenis ubatan tidak berdaftar yang dijual termasuklah ubat antibiotik untuk penyakit kulit selain ubat makan untuk masalah sakit sendi dan tenaga batin,” katanya di sini hari ini.
Rusdi dalam pada itu berkata, sebanyak 116 ubat tidak berdaftar dan 49 kosmetik tidak bernotifikasi yang kebanyakannya mempunyai steroid dirampas JKNP kerana dijual secara dalam talian.
Beliau berkata, kesemua barangan terbabit ditemukan selepas pemeriksaan dilakukan terhadap tiga premis kediaman dan sebuah kenderaan di sekitar daerah ini.
“Empat peranti digital yang digunakan bagi tujuan jualan secara dalam talian turut dijumpai susulan aduan daripada orang awam berhubung aktiviti penjualan ubatan yang disyaki tidak berdaftar.
“Aktiviti ini kita bongkar hasil risikan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Pahang selama enam bulan.
“Pengeluar (bahan ini) dari negara China, jadi kita tidak tahu dan kesan siapa yang terlibat kerana ia menerusi platform e-dagang, tapi ia mungkin dilakukan oleh orang tengah sebagai pembekal,” katanya.
Menurutnya, tindakan mahkamah akan diambil terhadap suspek di bawah Peraturan 7(1)(a) dan Peraturan 18A(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952 iaitu denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
“Bagi syarikat yang melakukan kesalahan yang sama boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” tegasnya. – UTUSAN










