Hasil getah Orang Asli merosot akibat penyakit pokok

Hasil getah Orang Asli merosot akibat penyakit pokok

BAH Tuak Bah Anjang menunjukkan keadaan pokok getah yang mengalami penyakit daun kuning di Palawan, Langkap dekat Pasir Salak. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Pendapatan penoreh getah masyarakat Orang Asli di Palawan, Langkap di sini terjejas teruk berikutan pokok yang ditoreh mengalami pe­nyakit daun berwarna kuning.

Penoreh mendakwa masalah itu dialami sejak dua tahun lalu dan lebih teruk akibat penyakit tersebut, ada pokok yang mati.

Dianggarkan penyakit daun pokok berwarna kuning melibatkan keluasan 40 ekar getah yang ditoreh di kawasan itu.

Penoreh getah, Bah Tuak Bah Anjang,76, berkata, masalah itu juga menyebabkan susu yang dihasilkan tidak seperti pokok yang sihat.

Katanya, keadaan itu merugikan penoreh ketika harga getah mencatat kenaikkan ketika ini.

“Ketika peringkat awal pembesarannya, pokok nampak cantik tanpa sebarang penyakit tapi apabila mencapai usia lima tahun, keadaan daun pokok mulai bertukar menjadi warna kuning.

“Kami teruskan torehan dan agak mengecewakan kerana hasilnya tidak seperti yang diharapkan.

“Kami berharap pihak yang berkenaan dapat membantu kami mengatasi masalah ini sama ada kaedah untuk mengatasi penyakit ini atau ditanam baharu supaya kami dapat hasil yang lebih baik,” katanya.

Menurutnya, perubahan yang dialami pada daun pokok getah bermula pada setiap Februari apabila daun getah akan bertukar warna menjadi ku­ning dan luruh di kebanyakkan tempat.

Namun, keadaan itu berlaku tidak ladang getah yang mereka toreh kerana daun pokok tidak luruh serentak.

Menurutnya, disebabkan keadaan itu, ada penoreh yang kini tidak lagi ke kebun menoreh sebaliknya mencari pendapatan lain terutama bekerja di ladang kelapa sawit.

“Kami tiada pilihan, setelah getah yang kami toreh tidak memberikan hasil yang banyak, kami bekerja di ladang sawit kerana kami perlu terus mencari pendapatan untuk keluarga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN