Hafizul mahukan telefon untuk hubungi peguam - Utusan Malaysia

Hafizul mahukan telefon untuk hubungi peguam

HAFIZUL Hawari diiringi anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat) lengkap bersenjata semasa tiba di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Suspek yang disyaki melepaskan tembakan ke arah isterinya di Balai Ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mendedahkan dia memerlukan telefon untuk membuat panggilan bagi mendapatkan khidmat guaman.

Hasrat itu diluahkan Hafizul Hawari, 38, dalam rayuannya selepas mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad atas tujuh pertuduhan melibatkan kes senjata api, peluru, mercun, memiliki tiga MyKad individu lain dan mempamerkan nombor pendaftaran palsu pada sebuah kereta di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hafizul yang kelihatan sugul dalam rayuannya turut menyatakan bahawa dia masih tidak dapat membuat sebarang panggilan telefon setakat ini.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki yang merupakan pengurus di syarikat agensi pelancongan itu didakwa memiliki senjata api jenis pistol bertulis Glock 19 Austria, Made In Turkey yang menyalahi undang-undang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat minimum sebanyak enam kali jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki 33 butir amunisi atau peluru jenis PMC 380 AUTO tanpa lesen sah atas kesalahan dan dituduh mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 (Akta 206) yang memperuntukkan hukuman sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, Hafizul didakwa memiliki satu bungkusan plastik mengandungi mercun bola tanpa permit yang merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh didakwa memiliki tiga keping MyKad milik individu lain berusia 29, 34 dan 35 tahun yang boleh di hukum di bawah Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Peraturan itu memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda sehingga RM 20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketujuh, Hafizul didakwa memandu sebuah kereta jenis Honda Civic dengan mempamerkan nombor pendaftaran palsu.

Tertuduh dituduh mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman denda RM 5,000 dan hingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun jika sabit kesalahan.

Ketujuh-tujuh kesalahan itu dilakukan oleh Hafizul di dalam sebuah kereta jenis Honda Civic di pekarangan Hospital Pakar KPJ Perdana di sini kira-kira pukul 2 petang pada 15 April lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fitri Mohamad dan Siti Edabayu Subhan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Ahmad Fitri tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh atas ketujuh-tujuh pertuduhan dan memohon Hafizul untuk menjalani tahanan reman di Penjara Sungai Buloh kerana terlibat dalam kes lain di Selangor.

Tertuduh dalam rayuannya, memohon jaminan diberikan dan membuat panggilan telefon untuk lantikan peguam.

“Saya perlukan panggilan telefon untuk panggil peguam. Saya tidak dapat lagi (panggilan telefon),” ujarnya.

Nik Habri bagaimanapun tidak membenarkan jaminan bagi pertuduhan tiga kes melibatkan senjata api, memiliki peluru dan memiliki mercun bola, namun membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 untuk empat pertuduhan lain.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh ditahan reman di Penjara Sungai Buloh, Selangor sepanjang prosiding kes selain menetapkan 23 Mei depan untuk lantikan peguam, sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Terdahulu, Hafizul tiba di pekarangan Mahkamah Kota Bharu pada pukul 8.31 pagi dengan berpelitup muka dan memakai baju lokap berwarna oren.

Hafizul dikawal ketat oleh anggota polis dari Unit D9 (Bahagian Siasatan Jenayah Berat) lengkap bersenjata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×