KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menggagalkan cubaan menyeludup 960,000 batang rokok putih semasa umat Islam sedang bersahur dalam serbuan di Pengkalan Haram, Kampung Kijang, di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini, kelmarin.
Serbuan pukul 5 pagi itu melibatkan rampasan termasuk cukai yang dianggarkan bernilai RM749,760.
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, semasa serbuan dilakukan sepasukan anggota bertugas telah ternampak seramai lapan lelaki sedang ligat memunggah turun rokok-rokok tersebut dari bot ke dalam kawasan daratan.
Menurutnya, sejurus menyedari kehadiran anggota penguat kuasaan kesemua lapan lelaki tersebut bertindak melarikan diri.
“Pemeriksaan di lokasi membawa kepada penemuan 960,000 batang rokok putih.
“Sebelum itu, kita mula membuat intipan bermula kira-kira pukul 2 pagi sebelum mengesan beberapa buah bot kecil mula memasuki ke kawasan pangkalan haram,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di Bahagian Penguatkuasaan Kota Bharu di sini hari ini.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, modus operandi penyeludupan dengan membawa masuk rokok putih dari negara jiran dengan menggunakan bot persendirian sebelum di bawa keluar oleh pelbagai jenis kenderaan dari pengkalan haram untuk diedarkan di pasaran tempatan.
Katanya, mereka juga memilih waktu bersahur atau berbuka untuk menjalankan aktiviti penyeludupan ini bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.
“Siasatan masih terus dijalankan bagi mengenalpasti pemilik dagangan yang telah dirampas.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM50,000, yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,”ujarnya.
Wan Jamal Abdul Salam berkata, ramai digesa membantu pihak JKDM untuk memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta tidak membabitkan diri dengan aktiviti itu.
Katanya, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan serta kesejahteraan rakyat.-UTUSAN











