JERANTUT: Seorang pelancong asing dari Belanda teruja apabila dapat merasai pengalaman yang disifatkannya sebagai paling indah dalam hidupnya kerana berkesempatan merasai suasana sambutan Ramadan di negara ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, gadis manis tersebut, Rianne, 20, berkata, pengalaman bercuti selama dua minggu di Pahang khususnya Jerantut cukup bermakna buat dirinya apabila dapat mengunjungi bazar Ramadan di bandar ini.
“Saya memang mengambil keputusan bercuti lama di sini, iaitu dua minggu bersama keluarga dan tidak menyangka ketika kehadiran kami di sini, masyarakat Islam sedang menyambut Ramadan.
“Jadi, saya berkesempatan melihat sendiri suasana berpuasa dan sering berjalan ke bazar yang berbeza setiap hari walaupun iklim panas seperti di Jerantut Feri dan Jengka untuk melihat juadah tempatan yang dijual,” katanya ketika disapa di Bazar Ramadan Jerantut di sini, semalam.
Rianne mengaku rasa bertuah dapat berkunjung ke Jerantut yang menawarkan pelbagai destinasi menarik seperti Taman Negara Kuala Tahan, makanan sedap serta penduduknya ramah dan baik hati.
Menurutnya, segala pengalaman berada di Jerantut pada bulan Ramadan akan dicatatkan dalam diari dan diceritakan pengalaman manis itu apabila pulang ke negaranya nanti.
“Pengalaman mengunjungi bazar Ramadan merupakan sesuatu yang baharu dalam hidup saya kerana dapat melihat pelbagai kuih-muih dan juadah orang Melayu,” katanya.
Menurutnya, dia mencuba makan pelbagai juadah dijual di bazar Ramadan antaranya nasi ayam, kek lapis, martabak, kuih lopes, talam ubi dan pulut panggang.
Rianne kagum dengan budaya masyarakat Melayu Islam yang sentiasa bersikap toleransi, mesra dan mudah berkomunikasi bagi mengeratkan silaturahim. – UTUSAN










