ETS terkandas empat jam, KTMB tawar pulangkan balik tambang

ETS terkandas empat jam, KTMB tawar pulangkan balik tambang

Keadaan di dalam ETS yang dilaporkan terkandas semalam. FOTO/PENGGUNA MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan pemulangan tambang penuh kepada penumpang yang terkandas lebih empat jam ketika menaiki Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) petang semalam.

Tren tersebut terkandas akibat masalah teknikal semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Butterworth, Pulau Pinang, kelmarin.

KTMB dalam kenyataan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian itu yang berlaku antara laluan Kamunting dan Bukit Merah, Perak.

“Kesulitan ini amat dikesali dan penumpang yang tidak meneruskan perjalanan, boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh. Mereka diminta menghantar permohonan ke emel: [email protected].

“Penumpang yang membeli Pelan Takaful Premium boleh membuat tuntutan dengan menghubungi Etiqa Claim Assist 010-368 7829 atau emel kepada [email protected],” katanya dalam kenyataan hari ini.

KTMB berkata, gangguan disebabkan talian elektrik (alat talian atas) terputus yang membataskan komunikasi kapten untuk membuat pengumuman kepada penumpang.

“Namun, kru tren bertugas sudah mengambil langkah membuat pengumuman di setiap gerabak bagi menyampaikan maklumat berkenaan situasi yang berlaku, selain KTMB menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada penumpang yang terkesan sebagai pemakluman,” katanya.

Kata kenyataan tersebut, lokomotif bantuan juga sudah dihantar tetapi gagal menyelamatkan tren ETS yang terkandas, manakala pemindahan penumpang ke tren ETS bantuan terpaksa dilakukan dengan bantuan kru tren dan kakitangan KTMB yang dihantar ke lokasi.

“Selain itu, penumpang juga diberi penyegar apabila tiba di Stesen Bukit Mertajam dan Butterworth,” katanya.

Terdahulu, tular dalam media sosial berhubung isu perkhidmatan ETS Kuala Lumpur-Butterworth mengalami masalah teknikal dan terputus elektrik menyebabkannya terkandas  sekitar pukul 5 petang hingga hampir 8 malam semalam.

Beberapa pengguna media sosial mendakwa, masalah tersebut mengekang mereka daripada capaian pelbagai kemudahan seperti elektrik, lampu, pendingin hawa, air, makanan selain tandas juga penuh.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN