eTesting: Tenaga pengajar bersedia, calon bimbang

eTesting: Tenaga pengajar bersedia, calon bimbang

DUA kakitangan melakukan pemantauan calon yang melakukan latihan menggunakan eTesting di Institut Memandu Surfine Hi Tech di Hulu Langat. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Tenaga pengajar di institut memandu yang terlibat secara langsung dengan pelaksanaan Sistem Latihan dan Pengujian Memandu Secara Elektronik (eTesting) rata-ratanya telah bersedia dan tidak berdepan masalah dengan pelaksanaan sistem tersebut mulai April ini.

Seorang daripada mereka, Mohd. Annuur Ishak dari Institut Lima Bintang Abadi Sdn. Bhd. di sini berkata, antara persediaan yang dilakukan ke arah pelaksanaan sistem berkenaan ialah mengadakan sesi percubaan eTesting iaitu selama tiga bulan bermula Disember tahun lepas hingga hujung bulan ini.

Katanya, sepanjang tempoh itu, mereka yang ingin mendapatkan lesen diberi pilihan sama ada untuk mencuba kaedah baharu iaitu eTesting atau kekal dengan keadah biasa iaitu mengambil ujian berkomputer sebelum menjalani ujian amali dengan pemantauan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Setakat ini, daripada maklum balas yang saya terima, kebanyakan pelatih (mereka yang ingin mendapatkan lesen ini) kelihatan agak risau dengan pelaksanaan eTesting terutamanya bagi mereka yang tidak pernah memandu langsung sebelum ini.

“Ada juga yang takut-takut kerana mereka hanya akan memandu seorang diri dengan dipantau melalui kamera khas yang dipasang dalam kereta oleh JPJ.

“Apapun, kami sebagai tenaga pengajar awal-awal lagi telah memberikan ‘briefing’ (penerangan ringkas) kepada mereka mengenai perkara ini agar mereka lebih bersedia dan yakin,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain Institut Lima Bintang Abadi di Pulau Pinang, dua lagi institusi memandu terpilih untuk pelaksanaan sistem eTesting itu ialah Institut Memandu Surfine Hitech di Hulu Langat, Selangor serta Pusat Latihan Memandu Berjaya Bhd. di Ulu Tiram, Johor.

Mengulas lanjut, Mohd. Annur berkata, jumlah tenaga pengajar yang akan ditugaskan untuk eTesting itu pula bergantung kepada jumlah calon yang akan menduduki ujian memandu pada hari berkenaan.

“Ketika ujian, hanya anggota JPJ akan memantau calon melalui kamera di bilik kawalan manakala kami pula sebagai tenaga pengajar, akan membantu persiapan calon termasuk sentiasa berada di lokasi atau tempat mereka mengambil ujian,” katanya yang memberitahu, ketika ini, terdapat kira-kira 50 tenaga pengajar di Institut Lima Bintang Abadi secara keseluruhannya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Annuur berkata, antara kelebihan penggunaan sistem eTesting ini ialah calon tidak perlu membayar wang tambahan untuk mengambil semula ujian memandu jika gagal seperti kaedah biasa yang diamalkan sebelum ini.

“Lagi satu, jika kita hanya gagal di bahagian ‘parking’, kita hanya perlu mengulangi bahagian itu sahaja dan tidak perlu mengulangi keseluruhan ujian.

“Selain itu, yuran yang ditetapkan juga sama (seperti kaedah biasa). Senang cerita, saya lihat lebih banyak kebaikan daripada penggunaan sistem ini berbanding sistem biasalah,” katanya.

Sementara itu, seorang calon ujian memandu, Fakhrizal Abdullah, 24, berkata, dia ada terbaca mengenai pelaksanaan sistem eTesting itu di beberapa institut memandu tertentu termasuk di Pulau Pinang mulai April ini sebelum membuat pencarian lanjut di enjin carian Google mengenai kaedah tersebut untuk menambah maklumat.

“Sebagai bakal calon, saya berpendapat kaedah ini (eTesting) agak bagus bagi mereka yang berkeyakinan tinggi. Bagi mereka yang tidak pernah memandu atau cepat panik pula, ia mungkin berisiko kerana tidak ada orang yang membantu ketika sedang memandu.

“Jadi, saya fikir, buat permulaan ini, mungkin dalam tempoh satu atau dua tahun ini, Kementerian Pengangkutan sepatutnya memberikan kelonggaran kepada calon memilih sama ada mahu menggunakan sistem eTesting atau kekal menggunakan sistem biasa bagi memudahkan urusan semua pihak,” kata pekerja swasta itu.

Bagi Nur Izzatun Nabila Shaari, 22, dia teruja untuk mengikuti ujian memandu mengikut sistem eTesting walaupun mengakui agak berdebar-debar ketika ini.

“Saya sebenarnya berdarah gemuruh dan mudah berasa gelisah. Kadang-kadang rasa macam tak sabar (nak ikuti ujian memandu mengikut sistem eTesting), kadang-kadang rasa macam nak ambil lesen macam biasa sahaja.

“Apapun, saya tahu, lambat atau cepat, sistem ni pasti akan digunakan di semua sekolah (institut) memandu selepas ini. Harapnya, pegawai yang bertugas masa tu (JPJ) tak terlalu garanglah,” kata pelajar sebuah kolej swasta di George Town itu.

Seorang lagi calon, Khairul Amin Mat Tahir, 35, berkata, sistem eTesting boleh melahirkan  bakal pemandu berkeyakinan tinggi yang boleh membuat pertimbangan lebih rasional pada masa hadapan.

“Apabila berseorangan dalam kereta (tanpa ditemani oleh tenaga pengajar atau pegawai JPJ), maka, hanya kita yang akan menentukan nasib kita sendiri sama ada lulus atau gagal.

“Bagi saya, situasi itu juga boleh membentuk kita menjadi seorang pemandu yang lebih baik dan sentiasa berusaha untuk mengelak daripada melakukan kesalahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN