Empat pekerja asing cedera disamun di rumah kongsi - Utusan Malaysia

Empat pekerja asing cedera disamun di rumah kongsi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Empat pekerja warga asing cedera termasuk salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan patah tangan kanan selepas rumah kongsi mereka dihuni mereka di Kampung Senama, Tanjung Keling, di sini, disamun lima lelaki, awal pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden, Shaik Abd. Kadar Shaik Mohamed berkata, mangsa melibatkan tiga warganegara Bangladesh dan seorang dari Myanmar yang masing-masing berusia 21 hingga 45 tahun.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati tiga mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan menerima beberapa jahitan manakala mangsa berusia 21 tahun pula mengalami patah tangan kanan dan akan dirujuk ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).

“Kejadian berlaku kira-kira pukul 3.50 pagi ketika kesemua mangsa sedang tidur. Mereka telah disamun oleh lima lelaki memakai topeng muka yang memecah masuk ke rumah kongsi berkenaan.

“Penyamun tersebut juga bersenjatakan batang besi, kayu dan parang dan meminta duit dan telefon bimbit kesemua pekerja asing berkenaan.  

“Oleh kerana takut, pekerja asing hanya mendiamkan diri namun penyamun berkenaan telah memukul badan dan kepala kesemua pekerja asing tersebut sebelum melarikan beg salah seorang mangsa dan mengambil duit sebanyak RM3,400,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Shaik Abd. Kadar berkata, pekerja kebun sayur berkenaan yang dalam keadaan cedera serta berdarah menghubungi Biro Keselamatan Kampung menggunakan telefon bimbit mereka yang tersorok dan memaklumkan mereka telah disamun.

“Kami sedang mengesan lima suspek seperti keterangan yang diberikan mangsa dan siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN