Dua anggota polis terlibat dengan dadah dicekup

Dua anggota polis terlibat dengan dadah dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Dua anggota polis antara 1,072 individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah dicekup menerusi Ops Tapis Bersepadu dan Ops Bersepadu Sempadan dalam tempoh 16 hari bermula 1 April hingga semalam.

Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kedua-dua anggota itu ditahan dalam serbuan berasingan masing-masing pada 4 dan 5 April lalu.

“Serbuan pertama pada 4 April kita tahan anggota tersebut pada pukul 10.30 malam di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas. Saringan mendapati anggota berusia 36 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine.

“Selang sehari kemudian, pada 5 April, kita telah menahan seorang anggota polis bersama dua lagi lelaki lain hadapan sebuah rumah di Kampung Tanjung Baru, Mukim Rahmat, Lubok Setol, Rantau Panjang” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, pemeriksaan di kawasan ketiga-tiga suspek itu ditahan membawa kepada penemuan pil yaba seberat 8.003 gram.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas sebuah motosikal jenis Honda RS milik salah seorang daripada suspek kemudiannya telah menjumpai 42.08 gram pil yaba.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas kesemua suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine. Salah seorang daripada suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah. 

“Pada masa sama, menerusi operasi itu kita turut menahan dua lagi penjawat awam yang terlibat dengan dadah masing-masing di Kampung Berangan Pondok, Tumpat dan Kampung Loak, Bekelam, Bachok,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×