PETALING JAYA : Dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih memohon lanjutan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengisytiharkan harta dimiliki mereka.
Satu sumber berkata, lanjutan masa diberikan SPRM kepada ahli perniagaan, Tan Sri Mokhzani Mahathir dan Tan Sri Mirzan Mahathir bagi mereka meneliti setiap aset yang perlu diisytiharkan.
“Mereka masih memohon lanjutan kepada SPRM, ada beberapa butiran lagi perlu dimuktamadkan,” kata sumber itu kepada Utusan Malaysia.
Pada 22 Februari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, lanjutan tempoh 30 hari ke atas kedua-dua ahli perniagaan untuk mengisytiharkan harta kepada SPRM dibenarkan atas dasar kewajaran.
Kedua-dua anak bekas Perdana Menteri itu didapati mempunyai harta yang banyak dan mereka perlu meneliti dengan tepat setiap aset yang perlu diisytihar.
Tempoh masa yang diberikan itu adalah wajar berdasarkan kepada penerangan pegawai penyiasat yang menjalankan siasatan tersebut.
Ini kerana harta yang terlibat untuk disiasat adalah banyak dan perlu terperinci untuk mendapatkan dokumen atau akaun berkaitan.
SPRM pada 18 Januari lalu dilaporkan meminta Mirzan mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis.
Selepas itu, Mokhzani pula disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Pengisytiharan harta adalah salah satu daripada skop siasatan tersebut yang turut ambil kira banyak lagi perkara lain.











