SEPANG: Lazimnya, mangsa terjebak dalam kes jenayah pemerdagangan manusia kerana terpedaya dengan skim tawaran janji menarik pekerjaan di luar negara.
Lain pula kisah kali ini apabila Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendedahkan ada mangsa terlibat kerana dijual oleh kawan baik sendiri.
Menurut aktivis badan bukan kerajaan itu, Azirul Syafiq Sazali, perkara tersebut dibongkar hasil misi menyelamat seorang mangsa yang terperangkap di Kemboja hampir 30 hari.
“Dia dibawa kawannya itu datang ke Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum dijual pula kepada dua ejen warga China,” katanya ketika ditemui dengan Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim meraikan kepulangan lima mangsa penipuan pekerjaan itu di Terminal 1 KLIA, lewat malam tadi.
Mereka terdiri daripada masing-masing dua yang diselamatkan dari Myanmar dan Laos serta seorang dari Kemboja dengan kesemuanya adalah lelaki berusia bawah 30 tahun.
Mengulas lanjut, Azirul Syafiq berkata, mangsa dijual kerana didakwa banyak berhutang dan kemudian diiringi ketat oleh ejen tersebut menaiki pesawat menuju ke Phnom Penh pula.
“Dari ibu kota Kemboja itu, mangsa menaiki kenderaan dibawa ke Bavet, bandar terbesar wilayah Svay Rieng bersempadan Vietnam dan dijual kepada syarikat di sana,” jelasnya.
Lokasi berkenaan merupakan zon ekonomi khas di negara itu dan menggantikan peranan Sihanoukville yang sebelum ini amat terkenal sebagai hab jenayah penipuan pekerjaan.
Mangsa berjaya menghubungi MHO yang segera menghubungi ketua sindiket yang juga warga China, namun dipaksa menandatangani dokumen pembayaran hutang.
Azirul Syafiq bagaimanapun bertegas enggan berbuat demikian malah meminta mangsa tidak membayar tebusan berjumlah puluhan ribu yuan kerana disifatkan sebagai ugutan.
“Saya yang ketika itu di Thailand bagi misi pembebasan mangsa dari Myanmar, kemudian ancam penjenayah tersebut dengan hantar pihak polis Kemboja datang ke situ,” katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada Duta Besar Malaysia, Datuk Eldeen Husaini Mohd. Hashim yang bertindak campur tangan menyebabkan sindiket berkenaan mengalah.
Akhirnya ujar beliau, mangsa dibawa balik oleh sindiket tersebut ke lapangan terbang di Phnom Penh sebelum diselamatkan polis dan terus diserahkan kepada pihak kedutaan.
“Saya jangka dalam masa dua atau tiga bulan lagi, Kemboja akan ganti Myanmar pula yang kini bergolak serius ekoran konflik bersenjata semakin tegang,” katanya.
Menurutnya, perang saudara di Myanmar menyaksikan banyak lokasi hab jenayah penipuan didalangi militan prokerajaan dikuasai askar pemisah dan merebak sehingga ke sempadan Thailand.
Azirul Syafiq berkata, berdasarkan maklumat diterima MHO, banyak pusat sindiket itu ditutup antaranya di KK Garden yang terkenal dengan kegiatan tersebut.
Difahamkan tambah beliau, sebahagian besar penjenayah berkenaan sudah pun berada di Poipet, sebuah bandar perjudian popular di Kemboja yang bersempadan dengan Thailand.
Dari situ pula jelasnya, sindiket tersebut bergerak ke Bavet yang terletak dekat sempadan dengan Vietnam dan banyak kasino selain terdapat pula Zon Ekonomi Khas Kemboja. – UTUSAN










