Diberi pil khayal sebelum rogol gadis 15 tahun di hotel hingga hamil

Diberi pil khayal sebelum perkosa gadis 15 tahun di hotel hingga hamil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pemuda kekal menjalani hukuman penjara 17 tahun dan dikenakan 24 sebatan maksimum atas tiga kesalahan merogol dua gadis bawah umur termasuk adik kandungnya berusia 12 tahun di dua tempat berasingan.

Mangsa pertama yang ketika itu berusia 15 tahun diberi pil khayal sebelum dirogol di sebuah hotel di Chow Kit di sini. Gadis itu kemudian hamil manakala adik kandungnya (perayu) pula dirogol di sebuah rumah di Kampung Baru.

Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan hukuman itu selepas menolak rayuan terhadap hukuman. Anak sulung empat beradik itu mengaku bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan.

Tuduhan pertama, perayu dikenakan hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan dari tarikh reman pada 12 Julai 2021 serta diarah menjalani kaunseling pemulihan di penjara dan dua tahun pengawasan polis selepas menjalani hukuman.

Tuduhan kedua, Hakim Datuk Ahmad Bache mengekalkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan serta hukuman tambahan penjara dua tahun dan dua sebatan.

Tuduhan ketiga, dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan serta hukuman tambahan penjara dua tahun dan dua sebatan.

Bagi kesalahan kedua dan ketiga, perayu turut diarah menjalani sesi kaunseling pemulihan di penjara dan pengawasan polis selama dua tahun selepas keluar.

Mahkamah memerintahkan pertuduhan kedua dan ketiga (mangsa adik kandung yang sama) berkuatkuasa serentak selepas perayu menjalani hukuman bagi kesalahan pertama.

Pertuduhan pertama, lelaki itu mengaku merogol mangsa berusia 15 tahun di sebuah bilik hotel di Chow Kit di sini pukul 11 pagi, 1 April 2018.

Tuduhan kedua, kesalahan rogol didakwa dilakukan terhadap adik kandung yang ketika kejadian berusia 10 tahun, kira-kira pukul 3.10 petang, November 2019 di sebuah rumah di Kampung Baru.

Tuduhan ketiga, lelaki itu didakwa merogol mangsa serupa (ketika itu berusia 11 tahun) kira-kira pukul 1 petang, 2 Julai 2021 di rumah yang sama.

Hakim Ahmad berpuas hati bahawa Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf apabila memberi penekanan dan keutamaan kepada kepentingan awam lebih-lebih lagi mangsa kedua adalah adik kandung.

Bagi tuduhan pertama, mahkamah berpuas hati wujud niat jahat perayu yang merancang membawa mangsa ke hotel, memberinya pil khayal sebelum merogolnya.

“Perayu tidak berhati perut dan mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak yang telah dikhayalkan dan dirogol. Mangsa juga hamil akibat perbuatan itu. Namun perayu bernasib baik kerana hanya dikenakan penjara lima tahun,” ujar Hakim Ahmad dalam penghakiman bertulis yang diperoleh pihak media hari ini.

Beliau juga mengambil kira jarak dan tempoh kesalahan yang dilakukan adalah tiga tahun yang mana perayu mempunyai peluang untuk insaf setelah melakukan kesalahan pertama.

“Sebaliknya perayu bertambah ganas apabila memilih adik kandungnya pula sebagai mangsa pada 2019. Perbuatan itu diulangi terhadap mangsa serupa pada 2021 tanpa rasa kesal.

“Hanya hukuman penjara yang panjang dan sebatan maksimum mampu memberi keinsafan dan kesedaran kepada tertuduh (perayu) yang bersikap seperti haiwan,” ujar Hakim Ahmad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN