PETALING JAYA: Pelbagai pihak menyifatkan tuduhan seorang pensyarah warga Amerika Syarikat (AS), Bruce Gilley bahawa ahli politik Malaysia menggalakkan ‘Holocaust kedua’ ketika memberikan syarahan di Universiti Malaya (UM) semalam sebagai biadap dan bersifat songsang.
Gilley dianggap bukan sahaja tidak sensitif dan tidak menghormati dasar luar Malaysia, malah seolah-olah mahu mencabar pendirian Malaysia yang konsisten dalam isu konflik Israel-Palestin selama ini.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, ciapan di laman X turut memperlihatkan pensyarah itu begitu angkuh selepas secara terbuka menyatakan bahawa negara yang menyokong serangan terhadap orang Yahudi tidak berperanan dalam hal ehwal antarabangsa dan tidak layak berkawan dengan AS.
KONSISTEN
“Pendirian Malaysia dalam isu ini adalah sangat jelas dan konsisten di mana kita mengutuk sekeras-kerasnya serangan berterusan Israel yang menyasarkan rakyat Palestin. Serangan berterusan oleh tentera Israel ke atas Palestin bercanggah dengan prinsip kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa,” katanya.
Gilley dilaporkan menuduh ahli politik Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin sebagai menyebarkan kebencian terhadap Yahudi. Profesor Sains Politik itu juga dilaporkan menyerang bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Choo Seong meminta kerajaan bertindak tegas dalam isu berkenaan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Berdasarkan kronologi, Gilley dari Universiti Portland State dijemput Institut Pengajian Cina pada 16 April lalu untuk menyampaikan syarahan dan mengendalikan bengkel dalam Program Profesor Pelawat 2024 dari 22 hingga 24 April 2024.
Pada hari kedua, dalam syarahan yang bertajuk ‘Will Malaysia Become an Active Middle Power?’ menyaksikan Gilley menuduh ahli politik Malaysia menggalakkan ‘Holocaust kedua’ terhadap orang Yahudi.
“Ini adalah pendirian ahli politik Malaysia kembali kepada nasihat (Tun) Mahathir untuk belajar dari Jerman tentang cara membunuh Yahudi.
“Sebuah negara yang pemimpin politiknya menganjurkan ancaman terhadap orang Yahudi tidak akan menjadi pemain yang serius dalam urusan dunia, dan pastinya tidak akan pernah menjadi rakan Amerika Syarikat,” katanya ketika memberi syarahan.
HANTARAN
Tidak cukup dengan kenyataan berikut, dia kongsi semula kenyataan sama tersebut menerusi hantaran di platform media X milik beliau.
Tindakan itu mengundang kemarahan rakyat Malaysia termasuk Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) dan warga internet yang mengkritik UM kerana menjemput penceramah pro-Zionis.
KMUM menuntut pihak pengurusan tertinggi UM supaya melibatkan mereka sepenuhnya dalam sebarang program dianjurkan di semua peringkat Pusat Tanggungjawab.
Dalam pada itu, Pusat Komunikasi Korporat UM memaklumkan, pihaknya kesal dengan kenyataan kontroversi serta tidak menghormati sentimen masyarakat seperti tular dalam media sosial.
“Laporan lengkap berhubung isu itu sedang disediakan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati terlibat dengan isu ini.
“Kami juga akan menambah baik prosedur dan garis panduan yang lebih ketat terutamanya semakan latar belakang individu atau pihak yang akan bekerjasama termasuklah kajian penilaian risiko profil media sosial,” katanya.
KESELAMATAN
UM turut mengecam kenyataan terbaharu individu tersebut berkenaan aspek keselamatan mengembara ke Malaysia.
“Ini merupakan kenyataan tidak bertanggungjawab dan melampau yang mencetuskan kemarahan seluruh rakyat negara ini.
“Kita terus mendokong pendirian kerajaan menentang sebarang unsur berkait dengan Israel dan menyokong penuh usaha mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka yang sah,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan, tidak mengekang sebarang penganjuran program forum tetapi meminta pihak universiti untuk menyelidik terlebih dahulu latar belakang setiap penceramah jemputan.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, ini bagi mengelak kontroversi seperti yang dicetuskan Gilley.
“Asas untuk menilai latar belakang atau kecenderungan pandangan seseorang penceramah itu perlu dibuat secara menyeluruh oleh semua pihak.
Holocaust adalah pembunuhan beramai-ramai orang Yahudi Eropah semasa Perang Dunia Kedua. Antara tahun 1941 dan 1945, Nazi Jerman dan rakan sekutunya secara sistematik membunuh kira-kira enam juta orang Yahudi di seluruh Eropah yang diduduki Jerman, kira-kira dua pertiga daripada populasi Yahudi Eropah. – UTUSAN










