Bercuti ke negara lain cari kelainan, lebih murah

Bercuti ke negara lain cari kelainan, lebih murah

Bercuti ke negara lain antara untuk mencari kenegaraan negara dikunjungi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selain kos percutian yang lebih murah, kepelbagaian tarikan juga menjadi faktor utama warga tempatan memilih untuk bercuti ke luar negara.

Naib Presiden Luar Negara, Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Chong Yu Ken berkata, kebanyakan rakyat tempatan lebih suka melancong ke negara jiran seperti Thailand disebabkan variasi tarikan pelancongan, kepelbagaian budaya, dan kadar pertukaran mata wang lebih menguntungkan.

Menurut beliau, kebebasan untuk menikmati pengalaman yang berbeza dan kemungkinan harga yang lebih kompetitif juga memainkan peranan untuk rakyat tempatan melancong ke luar negara.

“Penduduk di negeri-negeri sempadan seperti Perak, Perlis, dan Kedah pula lebih cenderung untuk melancong menggunakan kenderaan darat kerana akses lebih ekonomi (murah) berbanding udara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

PERTIMBANGAN

Kata beliau, kualiti perkhidmatan juga antara pertimbangan besar sebagai tarikan tambahan mempengaruhi keputusan untuk melancong ke luar negara.

“Kualiti perkhidmatan, makanan, dan penginapan ke destinasi seperti Hatyai yang bertaraf lima bintang dengan harga ditawarkan masih berpatutan,” katanya.

Beberapa bulan lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Hatyai terus menjadi pilihan rakyat Malaysia untuk bercuti kerana kepelbagaian tarikan terutama makanan yang ditawar berpatutan selain lebih sedap.

Menerusi data imigresen, sebanyak 15,397 rakyat Malaysia memasuki Thailand menerusi sempadan Perlis dalam tempoh empat hari dari 15 sehingga 18 Disember tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah Holidaygogogo Tours Sdn Bhd, Simon Lee berkata, rata-rata pelancong domestik memilih untuk bercuti ke luar negara disebabkan tarikan khusus yang hanya tersedia di sana.

Katanya, pelancong memilih untuk merasai kepelbagaian budaya, mengeksplorasi destinasi baharu dan menikmati tarikan terkenal yang tidak terdapat di negara sendiri.

“Sesetengah orang mungkin memilih melancong ke luar negara untuk merasakan cuaca yang berbeza, mendapatkan pengalaman unik atau melibatkan diri dalam aktiviti khusus yang tidak tersedia di negara asal mereka.

“Lebih-lebih lagi bagi mereka yang gemar mencari pengalaman baharu dengan mencuba masakan dari negara luar, mengambil peluang untuk membeli-belah mahupun sekadar untuk berehat dan bersantai dalam suasana yang berbeza,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN