Bekas KP DBP Firdaus Abdullah meninggal dunia

Bekas KP DBP Firdaus Abdullah meninggal dunia

Datuk Dr. Firdaus Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Firdaus Abdullah meninggal dunia hari ini.

Berita kematian tokoh akademik dan budayawan itu dimaklumkan oleh DBP melalui media sosial rasminya.

“Warga Dewan Bahasa dan Pustaka merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Yang Berbahagia Datuk Dr. Firdaus Abdullah yang telah kembali ke rahmatullah pada 11 April 2024 bersamaan 2 Syawal 1445.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Amin,” katanya.

Sementara itu, anak kepada Allahyarham, Falahi Sarisatriya ketika dihubungi berkata, Firdaus dimasukkan ke hospital sejak hari pertama Ramadan kemudian didiagnos menghidap kanser limfoma tahap tiga.

Katanya, jenazah akan dikebumikan selepas menunaikan solat Zohor di tanah perkuburan Islam dekat Jalan Ampang hari ini.

“Allahyarham bagaimanapun tidak sembuh malah tidak dapat meneruskan rawatan. Sebelum ini Allahyarham mengalami sakit lain seperti masalah jantung dan darah tinggi. Tetapi, bukan kanser,” katanya.

Allahyarham Firdaus dilahirkan di Kuang, Selangor berkelulusan Doktor Falsafah dengan pengkhususan dalam bidang pengajian Sains Politik dari Universiti Colombia, Amerika Syarikat.

Beliau merupakan Fello Penyelidik Kanan (Pelawat) di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM).

Allahyarham memulakan kerjaya sebagai wartawan di Berita Harian pada tahun 1963 di bawah bimbingan Allahyarham Tan Sri A. Samad Ismail dan pernah dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Utusan Karya Sdn. Bhd. (anak syarikat Kumpulan Utusan Melayu) dari tahun 2004 hingga 2005.

Beliau menjadi Ketua Pengarah DBP dari 2005 hingga 2008 dan kemudian dilantik sebagai senator pada 2009.

Kerjaya akademiknya bermula sebagai penolong pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran UM pada 1971 dan kemudian dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UM dari 1 April 1998 hingga 2 Jun 2001.

Beliau juga terkenal dengan pelbagai hasil penulisan meliputi buku dan karya akademik dalam bidang politik, kebudayaan, kewartawanan dan penterjemahan karya kreatif dalam bidang puisi termasuk buku berjudul “Komentar Politik dan Kebudayaan” dan “Kepimpinan Melayu:Satu Rakaman Kewartawanan”.

Allahyarham meninggalkan empat orang anak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN