Banjir: Perhilitan minta penduduk lapor segera jika ada buaya tersesat ke darat - Utusan Malaysia

Banjir: Perhilitan minta penduduk lapor segera jika ada buaya tersesat ke darat

KELIBAT seekor buaya yang muncul di permukaan Sungai Linggi dekat pekan Linggi, Port Dickson susulan kejadian banjir dan peningkatan paras air sungai berkenaan semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan menasihatkan orang ramai untuk melaporkan segera sekiranya terdapat buaya tersesat ke darat semasa kejadian banjir khususnya di kawasan Linggi.

Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak sesekali mengambil tindakan sendirian sekiranya kejadian tersebut berlaku.

Bagaimanapun menurutnya, hasil tinjauan serta soal siasat dengan penduduk di kawasan berdekatan Sungai Linggi, pihaknya dimaklumkan tiada buaya yang naik ke darat susulan kejadian banjir yang berlaku semalam.

“Mengikut penduduk di sini, memang ada buaya dalam sungai tetapi tidak mengganggu penduduk, hanya nampak kelibat di dalam sungai yang merupakan habitat semula jadi haiwan itu.

“Makanan buaya ini seperti ikan masih banyak di dalam sungai berkenaan. Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak melakukan provokasi sekiranya terjumpa buaya dan segera meninggalkan lokasi ke tempat yang lebih selamat,” katanya hari ini.

Semalam ketika tinjauan banjir yang dilakukan pemberita di pekan Linggi, Port Dickson turut terlihat kelibat seekor buaya dewasa di dalam sungai yang pada ketika itu berada di paras bahaya.

Pada bulan Disember 2021, media melaporkan kejadian banjir dan peningkatan paras air Sungai Linggi menyebabkan seekor buaya naik ke jalan raya di jambatan di pekan Linggi.

Kawasan Linggi seringkali terjejas dengan kejadian banjir susulan limpahan air Sungai Linggi terutama apabila berlakunya hujan lebat di kawasan hulu sungai iaitu di Seremban.

Sungai Linggi pula sememangnya dikenali sebagai habitat buaya tembaga di Negeri Sembilan.

Sementara itu, Faizal Izham turut meminta orang ramai untuk sentiasa berhati-hati apabila berada di kawasan sungai atau kawasan yang berpotensi dengan kehadiran buaya.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak sesekali memberi makan atau sengaja mengumpan buaya untuk naik ke tebing atau daratan.

“Langkah lain yang boleh diambil juga adalah untuk tidak turun ke sungai secara berseorangan dan elak berada di habitat buaya terutamanya kawasan sarang buaya,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN